Bangunan baharu Projek Rintis Bangunan Daif di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Seksyen, 2, Kajang yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 6 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Belanjawan 2025: ADN sambut baik pembinaan 44 sekolah, pusat autisme

SHAH ALAM, 20 OKT: Rancangan projek pembinaan 44 sekolah yang diumum menerusi Belanjawan 2025 merupakan langkah strategik dalam menangani isu akses pendidikan.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman berkata inisiatif itu dijangka mampu mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pembangunan modal insan tetapi juga mengurangkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.

“Pelaburan dalam sektor pendidikan ini seiring dengan usaha memperkukuh latihan teknikal dan vokasional yang akan memastikan negara bersedia menghadapi cabaran masa depan dalam ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi,” katanya menerusi kenyataan.

Sebanyak 44 sekolah baharu mula dibina tahun hadapan antaranya SMK Bandar Seri Putra (2), Hulu Langat, Selangor; SMK Lok Kawi, Putatan, Sabah; SMK Semeling, Sungai Petani, Kedah; dan SK Dudong, Sibu, Sarawak.

Dalam pada itu, Syed Ahmad menambah Belanjawan 2025 dilihat turut memberi penekanan kepada golongan berkeperluan khas melalui pembinaan lebih banyak pusat autisme di seluruh negara.

Menurutnya, langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kanak-kanak istimewa selain memastikan mereka dan keluarga menerima sokongan yang diperlukan.

“Ia adalah satu usaha signifikan bagi menggalakkan kesaksamaan sosial dan memberikan peluang pendidikan serta terapi terbaik kepada golongan ini,” katanya.

Sebanyak 11 Pusat Permata baharu akan dibina bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik, termasuklah di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, kerajaan turut memperuntuk Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme yang dijangka memanfaat 30,000 anak autisme dengan dana RM15 juta.

Mengulas mengenai penyasaran subsidi, Syed Ahmad berkata tindakan tersebut membuktikan kerajaan tidak tunduk kepada desakan populis sekali gus berupaya mengelak pembaziran.

Jelasnya, kerajaan dapat mengurangkan defisit tanpa mengorbankan kesejahteraan rakyat, khususnya melalui pengagihan subsidi dan bantuan yang lebih efisien.

“Secara keseluruhan, saya percaya Belanjawan 2025 ini adalah belanjawan komprehensif yang bertepatan dengan konsep ekonomi Madani dimana sejumlah besar wang diperuntukkan bagi menstruktur semula asas ekonomi dan memacu pertumbuhan,” katanya.


Pengarang :