Pengguna Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) menunggu giliran untuk menaiki pengangkutan awam itu ketika tinjauan di Stesen LRT Pasar Seni pada 25 Mei 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Belanjawan 2025: Peguam cadang pelepasan cukai pengangkutan awam

Oleh AMIRAHWANI RAHIMI

SHAH ALAM, 23 OKT: Kerajaan digesa memperkenal pelepasan cukai ke atas pengguna pengangkutan awam pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat.

Peguambela dan peguamcara percukaian berkata insentif seperti itu akan menyokong hasrat kerajaan untuk menggalakkan rakyat menggunakan kemudahan tersebut.

Menurut Mohamad Ezmeer Zulkarnaen Asnizar, sebagai permulaan, insentif itu boleh dibuat pada kadar RM3,000 setahun bersamaan RM250 sebulan.

“Setakat ini, insentif ini tidak pernah diperkenalkan lagi, cadangan saya ialah apabila rakyat menggunakan pengangkutan awam, rakyat boleh menuntut pelepasan cukai.

“Apabila kita beri pelepasan untuk rakyat yang menggunakan pengangkutan awam ini akan mengurangkan kesesakan lalu lintas, rakyat akan berasa lebih tergalak untuk naik pengangkutan awam,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program Hai Selangor terbitan SelangorTV bagi mengupas topik Belanjawan 2025: Pengecualian Cukai Ringan Beban Rakyat hari ini.

Mohamad Ezmeer menambah langkah itu juga mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas selain risiko kemalangan jalan raya dapat diturunkan apabila lebih ramai menaiki pengangkutan awam.

“Bila ada insentif sebegini, bukan sahaja membantu daripada segi cukai kepada rakyat tersebut tetapi menyelesaikan lebih banyak lagi masalah sosial.

‘Selain itu mengurangkan kesesakan lalu lintas, pencemaran, mengurangkan risiko kemalangan dan mengurangkan risiko kemalangan ketika ke tempat kerja,” katanya.

Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan peruntukan RM421 bilion atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Daripada jumlah tersebut, berlaku peningkatan 3.3 peratus daripada RM407.5 bilion yang diperuntuk dalam Belanjawan 2024 yang disemak semula.


Pengarang :