SHAH ALAM, 11 OKT: Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) yang dilaksanakan sejak 2021 antara usaha memastikan aspek penjagaan kesihatan mental rakyat di negeri ini terjaga.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi inisiatif itu, warga Selangor menikmati khidmat saringan awal, talian bantuan, subsidi rawatan psikiatri, pembangunan modul serta latihan kaunselor.
“Semestinya, Kerajaan Negeri Selangor peka terhadap kepentingan keadaan mental yang sihat tidak kira di rumah, sekolah mahupun tempat kerja atau tempat awam.
“Mari kita bantu mereka yang memerlukan, jadikan tempat bekerja sebuah ruang yang selamat agar semua dapat memberikan khidmat yang terbaik dalam pada masa sama menghormati kepelbagaian masing-masing,” katanya di Facebook sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024.
Beliau berkata program SEHAT mudah digunakan dan diakses menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).
Kerajaan Negeri melancarkan SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik Covid-19 melanda.
Program itu membolehkan pengguna mengetahui tahap kesihatan mental menerusi saringan awal ‘skala tekanan’ dan ‘pemeriksaan risiko’ secara kendiri.
Pada Julai, EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin ketika sidang Dewan Negeri Selangor memaklumkan sebanyak 10,459 kes gangguan mental dirujuk ke klinik kesihatan daerah dalam tempoh empat tahun dari 2020 hingga 31 Mac tahun ini.
Tahun 2020 merekodkan 1,858 kes diikuti 2021 (1,942), 2022 (2,065), 2023 (2,297) dan untuk 2024 hingga 31 Mac, 2,297 kes dilaporkan.