SHAH ALAM, 23 OKT: Peruntukan sejumlah RM50 juta menerusi Belanjawan 2025 untuk meluaskan pendidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan merancakkan penyelidikan teknologi itu di universiti.
EXCO pembudayaan inovasi berkata universiti di Selangor yang terlibat iaitu Universiti Malaya (AI perubatan), Universiti Putra Malaysia (AI pengkomputeran) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (AI alih bahasa).
“Dana yang disediakan akan membangunkan ekosistem teknologi AI dengan sokongan penyelidikan dan inovasi daripada universiti,” kata Dr Fahmi Ngah dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Belanjawan Negeri 2025 yang akan dibentangkan pada 15 November depan akan menumpukan penggunaan AI dalam perusahaan kecil dan sederhana (SME).
“Kerangka Insentif Pelaburan Baharu yang akan dilaksanakan pada suku tahun ketiga 2025 menyasarkan untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat dalam bidang AI dan teknologi terkini.
“Inisiatif ini mampu disokong melalui ekosistem yang disediakan di Selangor,” jelasnya.
Melalui Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar berkata kerajaan komited memperluaskan pendidikan berkaitan AI ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan RM50 juta, berbanding RM20 juta tahun Ini.
Tambahnya, dana aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM510 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).