SHAH ALAM, 19 OKT: Kerajaan menyediakan RM50 juta untuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bekerjasama dengan penggiat bahasa bagi mengangkat darjat bahasa dan sastera dalam kalangan belia.
Perdana menteri berkata ia juga bagi mempergiat aktiviti kedua-duanya, termasuk mengalih bahasa karya agung, penganjuran teater dan memelihara bahasa kaum minoriti seperti etnik Siam.
“Saya selalu tekankan dalam Gelombang Kebangkitan Asia bahawa pembangunan ekonomi harus seiring dengan pembangunan budaya dan nilai.
“Khazanah bahasa dan sastera perlu terus dipertahankan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan belanjawan 2025 semalam.
Katanya, kerajaan juga mendukung penuh pembangunan industri seni kreatif dengan meningkatkan dana kandungan digital kepada RM65 juta, bagi mempromosi karya berteraskan semangat kenegaraan.
Insentif lain seperti berikut:
- Hampir RM40 juta bawah insentif filem bagi penerbitan filem antarabangsa di Malaysia
- RM25 juta untuk MyCreative Ventures melalui suntikan ekuiti kepada syarikat berpotensi tinggi dan pembiayaan usahawan sosial kreatif.
- RM30 juta tarik 16,000 anak muda menceburi seni (termasuk bengkel kemahiran videografi kandungan kreatif, pembangunan komuniti filem serta pertandingan filem pendek)