Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) merasmikan majlis Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Turut sama EXCO Keusahawanan Najwan Halimi (dua, kanan) dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon (dua, kiri) . Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Ekspo Usahawan Selangor sasar transaksi hingga RM3 juta, tarik lebih 45,000 pengunjung

SHAH ALAM, 5 OKT: Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang berlangsung tiga hari sejak semalam di Pusat Konvensyen Setia City di Setia Alam menyasarkan nilai transaksi sehingga RM3 juta.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran melebihi jumlah perolehan RM2.2 juta yang diterima tahun lalu mampu dicapai berdasarkan situasi ekonomi yang semakin baik.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Perasmian Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Kita jayakan lagi SELBIZ tahun ini dengan sasaran pengunjung melebihi 45,000 iaitu jumlah dicatatkan tahun lalu. Kali ini melibatkan 230 pempamer pelbagai sektor antaranya makanan dan minuman , peruncitan dan perkhidmatan.

“Sebahagian pempamer ini juga merupakan usahawan yang lahir dari rangkaian program PKNS. Kita seru usahawan sertai peluang seperti ini kerana mampu mempromosi dan memasarkan produk mereka lebih meluas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan SELBIZ 2024 hari ini.

Sementara itu timbalan ketua pegawai eksekutif (korporat) PKNS berkata pihaknya memperuntuk lebih RM7 juta setiap tahun bagi menganjurkan program pembangunan usahawan seperti SELBIZ selain penyertaan di peringkat antarabangsa.

Suhaimi Kasdon berkata setakat ini lebih 50,000 usahawan menyertai program bimbingan PKNS selain pihaknya giat melaksanakan inisiatif membantu usahawan yang berpotensi mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon berucap ketika majlis Perasmian Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

“Baru-baru ini PKNS turut membuka peluang kepada usahawan untuk sertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) serta Pameran China-Asean Expo (CAEXPO) di Nanning, China.

“Ini langkah memperkenalkan produk mereka serta mengintai peluang pasaran dan eksport antarabangsa. November depan, PKNS sedang merancang untuk menyertai Ekspo MIHAS di Dubai,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai pameran ketika majlis Perasmian Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Turut sama EXCO Keusahawanan Najwan Halimi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Bertemakan ‘Melangkah Lebih Jauh’, ekspo memasuki penganjuran ketiga itu turut disertai vendor dan pempamer Indonesia selain diserikan aktiviti menarik antaranya pemeriksaan kesihatan percuma, sesi ramah mesra bersama pemain Selangor FC, persembahan silap mata, zoo mini dan pertandingan papan luncur.

Malam ini, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan artis popular antaranya Hael Husaini, Syamel, Akim Majistret, Sarah Suhairi dan 6ixth Sense.

Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pengarang :