Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim menyampaikan Anugerah Pementoran Pasangan Mentor dan Menti dalam Majlis Perasmian Hari Psikologi dan Hari Terbuka Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Selangor (Akrab) Perkhidmatan SUK Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 Oktober 2024. Hadir sama EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin (dua, kiri). Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Selangor perkenal khidmat kaunseling percuma di setiap daerah

SHAH ALAM, 28 OKT: Kerajaan Negeri memperkenalkan Kaunselor Hab SeHAT menerusi program Selangor Mental Sihat (SeHAT) di setiap daerah bagi menangani masalah kemurungan dan kesihatan mental.

EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin berkata ketika ini projek rintis yang menawarkan perkhidmatan sesi kaunseling percuma dibuat bermula Ogos lalu, selama empat jam pada setiap Sabtu.

“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Kaunselor Antarabangsa Malaysia (Perkama) dan Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka).

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berucap dalam Majlis Perasmian Hari Psikologi dan Hari Terbuka Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam Selangor (Akrab) Perkhidmatan SUK Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Projek rintis dilaksana bermula 10 Ogos lalu dan kita perlu lihat hasilnya dan laksanakan penambahbaikan. Selepas itu kita akan berbincang bagaimana untuk kendali program ini tahun depan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Hari Psikologi dan Hari Terbuka Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab) Peringkat Setiausaha Kerajaan Selangor 2024, hari ini.

Dengan tema ‘Utamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja’, program yang diadakan di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran negeri di sini, disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Dalam pada itu, Jamaliah menambah, lebih 100 individu mendapatkan khidmat kaunseling di Kaunselor Hab SeHAT sekali gus membuktikan program tersebut menerima maklum balas sangat baik.

Beliau berhasrat memperluas program berkenaan di semua Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Kaunselor Hab SeHAT terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.

“Program ini merupakan hasil perbincangan di mana ada pesakit yang mahu berjumpa pakar kaunseling secara empat mata, jadi kita letak hab kaunseling dekat dengan rakyat,” katanya.

Antara lokasi Kaunselor Hab SeHAT adalah di Pusat Khidmat Masyarakat di Bandar Utama, Pandamaran, Sungai Tua, Pandan Indah, Sungai Pelek, Kuala Kubu Bharu, Sungai Air Tawar, Ijok dan Morib.

Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Setia Haris Kasim (tengah) bersama EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin dalam Majlis Perasmian Hari Psikologi dan Hari Terbuka Akrab Perkhidmatan SUK Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam pada 28 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :