Petugas memberi penerangan kepada salah seorang pengunjung berhubung inisiatif Iltizam Selangor Sihat sempena Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) daerah Gombak di tapak bazar Ramadan Taman Melawati, Gombak pada 25 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Iltizam Selangor Sihat tawar biaya rawatan hospital sehingga RM10,000

SHAH ALAM, 29 OKT: Program Iltizam Selangor Sihat (ISS) terus ditambah baik bagi memastikan rakyat berpendapatan rendah di negeri ini mendapat akses penjagaan kesihatan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata manfaat ditawarkan termasuk penghospitalan kepada ahli utama yang aktif dengan perlindungan sehingga RM10,000 setiap tahun.

Beliau menjelaskan perlindungan tersebut merangkumi rawatan di hospital swasta bagi kes bukan kecemasan, manakala hospital kerajaan melibatkan kes kecemasan.

“Program ini manifestasi keprihatinan Kerajaan Selangor dalam memastikan setiap rakyat, terutama berpendapatan rendah mendapat akses rawatan kesihatan yang efisien,” katanya dalam kenyataan.

Jamaliah berkata inisiatif itu turut menyediakan rawatan asas RM250 setahun bagi individu dan RM500 setahun untuk keluarga, termasuk pengambilan vaksin terpilih di klinik swasta berdaftar.

Tambahnya, ISS turut diperluas dengan menyediakan khairat kematian ahli utama dan manfaat perlindungan penyakit kritikal sebanyak RM5,000 bagi setiap tuntutan.

Permohonan boleh dibuat melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) atau menghantar dokumen seperti kad pengenalan dan penyata gaji ke pejabat Dewan Undangan Negeri berdekatan.

Pemohon juga boleh menghubungi talian 1800-22-6600 yang beroperasi 24 jam atau layari laman web www.iltizamselangorsihat.com untuk pertanyaan lanjut

Selangor memperuntuk RM35 juta bagi melaksanakan program tersebut tahun ini, dengan menyasarkan seramai 100,000 ahli menerima manfaat bagi kategori individu dan keluarga.

 


Pengarang :