Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad (enam, kiri) menyampaikan hadiah kepada kumpulan Shoutul Makmuriah dari Sungai Besar yang menjadi johan Festival Al-Barzanji dan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Jais: Perbanyak program dakwah, perkukuh akidah Ahli Sunah Waljamaah

SHAH ALAM, 5 OKT: Pelaksanaan program yang memperkasa pendidikan dan dakwah islamiah wajar diperbanyak bagi memperkukuhkan akidah umat Islam negeri ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia selari usaha memperkukuh akidah Ahli Sunah Waljamaah yang menjadi pegangan umat Islam.

“Pelaksanaan program yang memperkasa pendidikan dan dakwah Islamiah seperti festival Al-Barzanji dan Marhaban yang dianjurkan di masjid negeri hari ini wajar diperbanyak bagi memperkukuh keimanan.

“Jais akan sentiasa memberi kerjasama untuk perkara melibatkan kerangka penting kepada pembinaan ummah dan cara hidup agama Islam berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah,” katanya berucap pada majlis penutup Festival Al-Barzanji dan Marhaban Selangor di masjid negeri, hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berucap merasmikan Festival Al-Barzanji dan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, ditemui selepas majlis berkenaan Mohd Shahzihan mencadangkan supaya pertandingan itu dibuat dalam skala lebih luas dengan menjemput peserta daripada negeri lain.

“Penglibatan buat masa ini agak terhad mungkin kali pertama. Dan untuk wujudkan saingan lebih hebat saya cadangkan untuk tawarkan kepada negeri lain supaya kita dapat belajar di samping tingkatkan keupayaan melagukan barzanji dan marhaban,” katanya.

Terdahulu lapan daripada 30 kumpulan mara ke peringkat akhir program itu.

Kumpulan Shoutul Makmuriah dari Sungai Besar, Sabak Bernam dinobat pemenang tempat pertama dan membawa pulang wang tunai RM7,000 serta piala iringan.

Tempat kedua, dimenangi kumpulan Al-Mukhlisin yang membawa pulang RM5,000 dan piala iringan manakala kumpulan Al-Falah Jalan Kebun yang memenangi tempat ketiga menerima RM3,000 dan piala iringan.

Kumpulan Shoutul Makmuriah dari Sungai Besar menjadi johan Festival Al-Barzanji dan Marhaban sempena Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Dewan Orkid Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 5 Oktober 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

 


Pengarang :