CYBERJAYA, 24 OKT: Satu daripada lima pesakit warga emas di negara ini direkodkan kembali menerima rawatan semula ke hospital dalam tempoh sebulan.
Pensyarah Kanan di Unit Perubatan Geriatric Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Dr Terence Ong berkata jumlah itu mewakili 20 peratus daripada keseluruhan pesakit warga emas yang menghidap pelbagai penyakit.
“Data yang kami lakukan ini dibuat bagi tahun lalu dan setakat tahun ini, ia tidak menunjukkan perubahan ketara.
“Sebenarnya angka ini membimbangkan terutamanya ketika Malaysia menuju negara menua. Antara penyakit yang kerap dihadapi warga emas adalah kencing manis, strok, dan sakit jantung,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau menyampaikan seminar bertajuk ‘Penyelarasan Discaj Bagi Mengurangkan Kemasukan Semula Warga Emas ke Hospital’ sempena Persidangan Kesihatan Awam Selangor 2024, hari ini.
Dianjurkan di Universiti Cyberjaya di sini, persidangan julung kali selama dua hari anjuran Kerajaan Negeri disempurnakan EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin, semalam.
Dalam pada itu, Dr Terence menambah, kerajaan berupaya mengambil beberapa langkah bagi memperkukuh dan memperkemas sistem perkhidmatan kesihatan, terutamanya menjelang 2030.
Jelasnya, sistem peralihan dan kesinambungan penjagaan pesakit dari hospital juga perlu dibuat secara lancar dan cekap apabila pesakit kembali ke dalam komuniti dan kediaman masing-masing.
“Dalam masa sekarang, kita mesti memperluaskan lagi perkhidmatan rawatan warga emas di klinik kesihatan awam selain memberi perhatian untuk menambah pakar dalam bidang geriatrik,” katanya.
Untuk rekod, unit geriatrik merupakan subkepakaran bawah jabatan perubatan yang memberi tumpuan khusus terhadap penjagaan menyeluruh pesakit berumur 60 tahun keatas.
Menjelang 2030, Malaysia dijangka secara rasmi menjadi negara menua dengan populasi warga emas diunjur meningkat secara drastik iaitu 5.3 juta orang atau lebih 15 peratus daripada populasi negara.