SHAH ALAM, 26 OKT: Kejohanan badminton persahabatan empat penjuru sempena ulang tahun ke-15 Media Selangor Sdn Bhd (Media Selangor) berlangsung meriah di TT Sport Centre, Petaling Jaya semalam.
Dalam pertandingan menggunakan format dua beregu lelaki, dua beregu wanita dan satu beregu campuran, Malaysiakini muncul juara dengan menewaskan semua pasukan termasuk tuan rumah Media Selangor.
Malaysiakini mengetepi cabaran Media Selangor dengan keputusan 4-1, Yayasan Selangor 3-2 dan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) 4-1 dalam acara antara jam 3 hingga 6 petang.
Naib johan milik Yayasan Selangor yang menewaskan Media Selangor dan KSSB, kedua-duanya 4-1 manakala Media Selangor tempat ketiga dengan mencatat satu-satunya kemenangan ke atas KSSB.
Media Selangor adalah media rasmi Kerajaan Negeri manakala Yayasan Selangor dan KSSB adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Selangor.
Semua hadiah disampaikan Pengarang Kumpulan Kanan Fathi Aris Omar.
Pemain dari empat pasukan yang berentap pada perlawanan badminton persahabatan empat penjuru bersama GLC dan rakan media pada 25 Oktober 2024. Foto MSSB
Kejohanan itu acara ketiga sukan persahabatan sempena ulang tahun ke-15 penubuhan Media Selangor, dahulunya Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), selepas boling dan bola sepak yang berlangsung pada 28 Jun dan 23 Ogos.
Perlawanan tersebut bertujuan membina hubungan lebih akrab antara organisasi media dan GLC di negeri ini selain bentuk penghargaan atas kerjasama baik kepada Media Selangor.