SHAH ALAM, 28 OKT: Kerajaan tidak membenarkan pengeluaran Akaun Persaraan (Akaun 1) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ahli mencapai umur 55 tahun, termasuk bagi menunaikan haji.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying menjelaskan ia bagi memastikan mereka mempunyai simpanan asas sekurang-kurangnya RM240,000 untuk kesejahteraan dan kelangsungan hidup selepas bersara.
“Meskipun begitu, ahli dibenar membuat pengeluaran bagi perumahan, insurans hayat, penyakit kritikal, pendidikan, kesuburan serta pengeluaran pada umur 50 tahun melalui Akaun Sejahtera (Akaun 2).
“Akaun Fleksibel turut diwujudkan bagi membenarkan ahli membuat pengeluaran bagi apa-apa tujuan pada bila-bila masa,” katanya menjawab soalan tambahan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan wakil rakyat Jerlun Abd Ghani Ahmad berhubung pendirian kerajaan mengubah polisi membenarkan pekerja yang belum mencapai umur persaraan mengeluarkan simpanan Akaun 1.
Dalam pada itu, Hui Ying berkata sebanyak 6,070 permohonan pengeluaran haji berjumlah RM16.7 juta daripada Akaun Sejahtera diluluskan sejak 2013, bersamaan purata RM2,759 bagi setiap permohonan.
Katanya, KWSP memperkenal pengeluaran haji sejak 2013 melalui akaun tersebut bagi ahli bawah 55 tahun dan terpilih untuk mengerjakan ibadah tersebut oleh Lembaga Tabung Haji (LTH).
“Amaun yang boleh dikeluarkan daripada Akaun Sejahtera adalah perbezaan jumlah kos haji dengan baki simpanan akaun Tabung Haji ahli pada masa menerima tawaran haji.
“(Ia) tertakluk kepada amaun maksimum RM3,000 atau baki Akaun Sejahtera (mengikut mana yang lebih rendah),” katanya mengulas lanjut berhubung perkara itu.
Menerangkan usaha membantu ahli membina simpanan persaraan, jelasnya, KWSP menyediakan pelbagai saluran seperti majikan boleh mencarum melebihi kadar wajib 11 peratus pada bila-bila masa.
Hui Ying berkata seramai 263,000 atau 3.3 peratus daripada jumlah ahli aktif formal KWSP mendaftar untuk membuat caruman melebihi kadar berkanun bagi caruman pekerja setakat Ogos lalu.
“Mereka juga boleh mencarum sendiri pada bila-bila masa melalui Caruman Sukarela bagi menambah simpanan mereka, tertakluk kepada had caruman RM100,000 setahun, bermula 1 Jun 2023,” katanya.