AGENDAJENAYAH

Kereta, motosikal terbakar, rumah dilempar sembilan botol bom petrol

MANJUNG, 6 OKT: Polis memburu tiga suspek dipercayai ahli sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along yang melempar bom petrol ke sebuah rumah di Taman Bintang, Pantai Remis, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman, berkata dalam kejadian 3.08 pagi itu, sembilan botol molotov cocktail dibaling ke arah rumah terbabit menyebabkan sebuah kereta Honda HR-V dan motosikal Yamaha LC terbakar.

Katanya, polis menerima laporan pada jam 9.36 pagi semalam daripada mangsa lelaki berumur 25 tahun yang juga pekerja syarikat kuari berhubung insiden berkenaan, lapor Berita Harian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati tiga suspek dilihat menaiki kereta Toyota Altis dan memakai pelitup muka ketika melakukan jenayah itu.

“Bapa pengadu dikatakan menyedari kebakaran itu lalu bergegas keluar dan menjerit ke arah suspek tetapi mereka terus beredar. Bagaimanapun, kebakaran berjaya dipadamkan bapa pengadu.

“Hasil pemeriksaan lanjut di lokasi turut menjumpai lima helai kertas tertera tulisan bahasa Cina di luar pagar rumah mangsa yang memberi peringatan kepada pengadu supaya membayar balik hutang.

“Namun, pengadu menafikan terbabit dengan pinjaman wang tidak berlesen atau bermusuh dengan orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasbullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.

Orang awam yang ada maklumat mengenai insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Amir Hafiz Mohd Rosli, melalui talian 011-24057360 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung (05-688 6222) bagi membantu siasatan.


Pengarang :