KUALA LUMPUR, 30 OKT: Ketua Jurulatih Selangor FC Nidzam Jamil mengejutkan arena bola sepak tempatan apabila meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta hari ini.
Peletakan jawatan beliau itu kira-kira 72 jam selepas skuad Gergasi Merah tewas 0-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Ahad lepas.
Memaklumkan perkembangan itu, Selangor menjelaskan kelab itu menghormati keputusan Nidzam yang telah memohon untuk mengundurkan diri dari mengemudi pasukan utama.
“Kelab ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil atas sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya. Di bawah bimbingan beliau sebagai Ketua Jurulatih pasukan utama, Selangor FC kini sedang berada di antara kelompok teratas liga, muncul naib juara Piala FA musim ini dan menduduki tempat teratas Kumpulan H saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2).
“Beliau banyak memupuk semangat kompetitif di kalangan pemain dan kepimpinan beliau memainkan peranan penting dalam mengekalkan prestasi pasukan sehingga kini,” kata kenyataan itu.
Tugas Ketua Jurulatih pasukan utama Selangor kini akan digalas penolong Nidzam sebelum ini, Abdi Hassan secara interim sementara kelab mengenal pasti pengendali baharu.
Mac lepas, Nidzam diumumkan sebagai ketua jurulatih Selangor bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang meninggalkan pasukan untuk membimbing kelab di Thailand.
– BERNAMA