SHAH ALAM, 3 OKT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan bantuan modal khusus kepada usahawan wanita negeri ini yang ingin berniaga kecil-kecilan.
Agensi itu memaklumkan di Facebook, pembiayaan di bawah skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) itu menawarkan pembiayaan sehingga RM50,000.
“Skim NaDI menawarkan pembiayaan bagi membantu usahawan wanita yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan dan berhasrat untuk mendapatkan modal pusingan perniagaan.
“Layari hijrahselangor.com untuk maklumat lanjut atau imbas kod QR (poster di bawah) untuk permohonan online,” katanya di Facebook.
Pada 11 September lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Selangor berkata pihaknya meluluskan 90,475 pembiayaan sejak awal penubuhannya pada 2015 hingga Ogos lalu.
Jelas Dato’ Mearia Hamzah, pembiayaan itu telah memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor, sekali gus membantu mereka melakukan pusingan modal perniagaan serta membeli kelengkapan perniagaan.
Sebelum ini Mearia memaklumkan pihaknya meletak sasaran untuk memberi pinjaman RM1 bilion kepada usahawan sempena sambutan ulang tahun kesembilan agensi itu pada tahun ini.