KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menyerbu sebuah rumah penyembelihan ayam di Puchong dekat sini, malam tadi, atas pelbagai kesalahan termasuk pelanggaran manual tatacara Pensijilan Halal Malaysia.
Pengarah KPDN Selangor Mohd Zuhairi Mat Radey berkata operasi Op Kita Gempur yang bermula pada pukul 8 malam dilakukan susulan aduan awam terhadap premis penyembelihan tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa pelanggaran lain, antaranya penyembelihan ayam di luar premis (kesalahan berulang), ketidakakuran besar, ketiadaan pemeriksa halal bagi proses penyembelihan dan pelanggaran amalan pengilangan baik (kebersihan).
“Selain itu, kami juga menemui beberapa kesalahan lain seperti penggunaan empat unit alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan serta penggunaan 13 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa permit sah untuk tujuan perdagangan,” katanya kepada pemberita selepas serbuan tersebut.
Beliau berkata KPDN telah mengambil tindakan terhadap premis berkenaan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.
Berhubung dengan pelanggaran manual tatacara Pensijilan Halal Malaysia, Mohd Zuhairi berkata perkara tersebut akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Halal Selangor untuk menyemak semula kelayakan pensijilan halal yang telah diberikan kepada premis itu sebelum ini.
“Sekiranya sijil halal itu ditarik balik, pihak premis tidak dibenarkan lagi menggunakan logo halal untuk tujuan perniagaan dan jika mereka masih menggunakan logo halal, tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 boleh diambil,” katanya.
Mohd Zuhairi turut menyeru masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak penguat kuasa dengan menyalurkan maklumat bagi bersama-sama membanteras ketidakpatuhan dalam kalangan peniaga di mana-mana premis terutama sekali di Selangor.
-BERNAMA