Orang ramai menyertai program saringan kesihatan percuma, Selangor Saring DUN Subang Jaya di Dewan MBSJ, Subang Jaya pada 8 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Lebih 1,400 individu terima manfaat program SEHAT setiap tahun

CYBERJAYA, 23 OKT: Lebih 1,400 individu mendapatkan bantuan khidmat perundingan dan rawatan setiap tahun menerusi program Selangor Mental Sihat (SEHAT) sejak diperkenal Kerajaan Negeri pada 2021.

Penyelaras program Dr Muhammad Adil Zainal berkata kebanyakan kes melibatkan individu berusia antara 20 hingga 40 tahun, terutamanya keluarga muda di Lembah Klang yang berdepan tekanan ekonomi.

“Kira-kira 55 peratus masalah yang kami temui adalah berkaitan dengan hubungan keluarga, selain cabaran kehidupan dan ekonomi semasa di Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput sebagai panelis pada Persidangan Kesihatan Awam di Universiti Cyberjaya di sini, hari ini. Majlis itu disempurnakan EXCO Kesihatan Jamaliah Jamaluddin.

Dr Muhammad Adil menambah, program SEHAT mempunyai 18 pakar psikiatri berdaftar, empat klinik psikologi serta lebih 50 kaunselor di pelbagai hab dan klinik.


Penyelaras program Selangor Mental Sihat (SEHAT) Dr Muhammad Adil Zainal Abidin salah seorang panelis di Persidangan Kesihatan Awam di Universiti Cyberjaya pada 23 Oktober 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR

Bagaimanapun katanya, program SEHAT berdepan kekangan khususnya masalah kekurangan kaunselor, dengan beberapa daerah hanya mempunyai seorang kaunselor.

“Kami berharap dapat diberi tambahan peruntukan berbanding hanya RM250,000 sebelum ini untuk menambah baik inisiatif sedia ada kepada masyarakat,” katanya.

Kerajaan Negeri melancarkan SEHAT dengan peruntukan RM500,000 bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan sejak pandemik Covid-19.

Menerusi inisiatif itu, warga Selangor menikmati khidmat saringan awal, talian bantuan, subsidi rawatan psikiatri, pembangunan modul serta latihan kaunselor.


Pengarang :