SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri memperuntuk lebih RM200,000 bagi penyediaan geran untuk menggiatkan lagi penerokaan inovasi dalam kalangan pelajar serta penjawat awam.
Dato’ Menteri Besar berkata dana itu merangkumi agihan Geran Teknologi & Inovasi Digital Selangor bernilai RM120,000, Geran Pengkomersialan dan Harta Intelek (RM50,000) dan lain-lain geran (RM40,000).
“Menerusi inisiatif ini pemikiran kreatif dan kreativiti dapat diketengahkan sekali gus mampu menghasilkan pelbagai inovasi yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Pemberian geran membantu pentadbiran menyelesaikan masalah melalui inovasi teknologi digital seterusnya menjamin kehidupan berkualiti serta keselesaan tambahan dalam kehidupan harian,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Berucap merasmikan Festival Inovasi Selangor di sini semalam, Amirudin berkata pembudayaan inovasi yang dilakukan tidak harus terhenti selepas berjaya penghasilan produk sebaliknya ditambah baik ke fasa pengkomersialan dan harta intelek.
Terdahulu EXCO Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah berkata Selangor memberi tumpuan untuk merancakkan inovasi dalam sektor perkhidmatan awam menjelang tahun hadapan seiring keperluan dan perkembangan teknologi semasa.
Beliau berkata inisiatif di peringkat pejabat pentadbiran negeri, anak syarikat, agensi dan pihak berkuasa tempatan bertujuan memberi perkhidmatan yang memudahkan rakyat.