Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane pada 11 Oktober 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Malaysia beri jaminan tindakan diambil secara konsensus sebagai Pengerusi ASEAN 2025

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan segala tindakan Malaysia tatkala mempengerusikan ASEAN pada tahun depan akan diputuskan secara konsensus.

Menerusi hantaran di laman Facebook malam tadi, beliau berkata Malaysia yang mengambil alih kepemimpinan ASEAN memilih tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ bagi mencerminkan aspirasi kemajuan bersama tanpa ada pihak tercicir.

“Tahun 2025 menandakan satu detik penting bagi ASEAN kerana kita akan meraikan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN dan memperkenalkan Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

“Insya-Allah, Malaysia akan membawa ASEAN mengharungi masa depan dengan yakin, memperkukuh dan memperluas kerjasama ekonomi serantau termasuk menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama ASEAN-Teluk) + China pada 2025,” katanya.

Anwar, yang mengakhiri tugasan di Vientiane, Laos semalam mewakili Malaysia secara rasmi untuk menerima tugas selaku Pengerusi ASEAN 2025 pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan dan Penyerahan Kepemimpinan ASEAN kepada Malaysia.

Upacara simbolik serahan tugas Pengerusi ASEAN oleh Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane pada 11 Oktober 2024. Foto BERNAMA

Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan tahniah atas kepemimpinan Laos sepanjang mempengerusikan ASEAN tahun ini.

“Malaysia menantikan kerjasama serta sokongan mereka bersama rakan ASEAN lain ketika kepengerusian Malaysia tahun depan,” katanya.

Selain itu, Anwar berkata ASEAN akan berpegang teguh kepada prinsip memelihara Asia Tenggara sebagai rantau yang aman dan makmur di bawah kepengerusian Malaysia.

“Mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia, saya dengan penuh hormat mengalu-alukan kehadiran rakan-rakan semua,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :