VIENTIANE, 11 OKT: Malaysia akan mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN ketika majlis penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasmi akan menerima penyerahan jawatan Pengerusi ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone ketika acara itu, menandakan peralihan bagi Malaysia untuk menerajui ASEAN pada 2025.
Anwar dijangka menyampaikan ucapan ringkas yang menggariskan visi dan keutamaan Malaysia untuk ASEAN pada 2025 pada majlis penutup.
Sebelum penyerahan itu, Anwar bersama pemimpin sembilan negara anggota ASEAN yang lain dijangka mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-12 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane.
Topik utama yang dijangka dibincangkan pada sidang kemuncak itu termasuk isu Laut China Selatan, perkembangan di Myanmar, serta situasi terkini di Palestin dan Timur Tengah.
Anwar juga akan mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak Asia Timur ke-19, Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-14, dan Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia ke-2.
Di antara mesyuarat peringkat tinggi itu, Anwar dijadualkan menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Perdana Menteri Luxembourg Xavier Bettel sebelum mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone.
Mengiringi Anwar pada persidangan itu ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Sebelum berlepas dari Vientiane dan pulang ke Malaysia, Anwar akan mengadakan sidang media untuk membincangkan hasil sidang kemuncak itu dan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN akan datang.
Jawatan Pengerusi ASEAN oleh Malaysia akan bermula secara rasmi pada 1 Januari 2025.
– BERNAMA