Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berjaya mencapai penembusan Terowong Gombak sepanjang 959 meter, sebulan lebih awal daripada jadual ditetapkan ketika tinjauan di Kampung Batu 12, Gombak pada 29 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: ECRL di Selangor buka peluang ekonomi, tingkat kemudahan logistik

Oleh Yasmin Ramlan

GOMBAK, 29 OKT: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor dijangka membuka peluang baharu untuk aktiviti ekonomi dan meningkatkan kemudahan logistik serta perdagangan.

Merujuk kepada Pelan Induk Guna Tanah Bersepadu ECRL, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setiap lima stesen di Selangor direka untuk memenuhi peranan tertentu.

“Stesen Terminal Bersepadu Gombak berfungsi sebagai pintu masuk penumpang ke wilayah pantai timur, manakala Bandar Serendah ditetapkan sebagai hab logistik.

“Stesen Puncak Alam akan menyokong pelancongan warisan, stesen Kapar kawasan industri bernilai tinggi dan stesen Jalan Kastam sebagai pintu masuk antarabangsa,” katanya

Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari merasmikan majlis penembusan Terowong ECRL Gombak di Kampung Batu 12, Gombak pada 29 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Beliau ditemui pada majlis penembusan Terowong Gombak ECRL hari ini, yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim dan EXCO Pelaburan Ng Sze Han.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pentadbirannya menyambut baik inisiatif untuk merancakkan Bandar Serendah sebagai lokasi penting pemindahan kapal atau hab pertukaran kargo baharu di negeri itu.

“Kami bersyukur langkah seterusnya ini akan menyumbang kepada pertumbuhan industri seperti automotif, kereta api, keluli, dan aeroangkasa daripada syarikat besar,” katanya.

Beliau menambah ECRL adalah tulang belakang yang menghubungkan Lembah Klang dengan bandar utama di sepanjang pantai timur, termasuk Bentong, Kuantan, Kemaman, Kuala Terengganu dan Kota Bharu.

Tinjauan sekitar Terowong Gombak sepanjang 959 meter yang dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Kampung Batu 12, Gombak pada 29 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Jelasnya lagi, projek tersebut juga akan meningkatkan akses dan kesalinghubungan, menjana peluang pekerjaan selain mewujudkan peluang sosioekonomi yang lebih saksama.

“Oleh itu, Selangor komited untuk memudahkan pelaksanaan projek yang merangkumi guna tanah, dengan syarat pembangunan ini tidak memberi kesan negatif kepada penduduk,” katanya.

Laluan ECRL meliputi jajaran sepanjang 665km, dengan kira-kira 92km terletak di Selangor. Projek tersebut dilaporkan mencapai kemajuan 72.93 peratus setakat September.

Ia dijangka siap pada Disember 2026 dan mula beroperasi pada Januari 2027.


Pengarang :