SHAH ALAM, 31 OKT: Dato’ Menteri Besar hari ini meluangkan masa bertemu kanak-kanak yang diselamatkan ketika banjir besar melanda Sri Muda pada Disember 2021.
Dato’ Seri Amirudin Shari yang tiba bersama isteri, Datin Seri Masdiana Muhamad disambut EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu meluangkan masa kira-kira 30 minit bertemu M Kiyashkumar yang kini berusia tiga tahun.
Mengimbau kejadian, Amirudin berkata beliau membantu Kiyashkumar waktu itu berusia 55 hari yang terkandas di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda bersama ibu dan bapanya.
“Hari ini, saya kembali untuk bertemu semula bayi tersebut yang kita selamatkan masa kejadian banjir sempena sambutan Deepavali.
“Saya sangat gembira dapat kunjungi kanak-kanak ini semula dan ini tanda Kerajaan Negeri menjaga kebajikan semua rakyat tanpa mengira kaum. Ini adalah kenangan saya menyelamatkan dia ketika banjir,” katanya ditemui malam ini.
Tambah Amirudin, kepimpinan beliau akan mencari lagi mangsa yang terkesan akibat bah besar melanda Selangor pada Disember 2021 sebagai tanda keprihatinan.
Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, V Shapritha,32, berkata beliau sangat terharu dan tidak sangka menerima kunjungan Dato’ Menteri Besar yang pernah membantunya ketika banjir besar pada 2021.
Jelasnya, waktu kejadian air naik agak tinggi dan ibunya memegang Kiyashkumar merupakan anak keduanya yang baru lahir sementara suaminya memegang anak sulungnya berusia dua tahun.
“Waktu itu sangat panik dan agak khuatir kerana anak baru lahir. Risau juga kerana nak serahkan bayi masih kecil tetapi beliau bersungguh membantu hendak menyelamatkan kami sekeluarga.
“Kehadiran beliau malam ini amat bermakna buat kami sekeluarga pada Deepavali tahun ini dan pengalaman yang tidak akan dilupakan,” katanya.
Pada Disember 2021, Amirudin membantu mangsa banjir termasuk anak baru lahir di Sekolah Kebangsaan Taman Sri Muda, Seksyen 23 di sini.
Beliau bersama anggota pasukan keselamatan sejak jam 5.30 petang juga membantu beberapa warga emas yang terperangkap di kawasan berkenaan.