SHAH ALAM, 23 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM600,000 untuk melaksana Program Pasukan Keselamatan Kejiranan Petaling Jaya (PKKPJ) pada 2025.
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon berkata ia bagi memastikan bandar raya itu menjadi kawasan selamat dan selesa didiami semua di bawah insiatif Thematic Safe and Resilient City.
“Pada 2024, peruntukan RM3,000 diberi kepada setiap 138 permohonan PKKPJ melibatkan 70 Persatuan Penduduk, Rukun Tetangga (38), Badan Pengurusan Bersama (28) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (2).
“Inisiatif pelaksanaan program ini telah memberikan impak yang sangat baik melalui peningkatan penglibatan penduduk, bilangan rondaan keselamatan dan kesedaran keselamatan kejiranan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Majlis Khas (Bajet 2025) MBPJ di Bangunan Annex, Ibu Pejabat MBPJ, semalam.
Dalam pada itu, Mohamad Zahri memaklumkan sejumlah RM700,000 disediakan bagi menaik taraf Pusat Bandar Damansara Jaya melalui Program Bandar Bebas Halangan.
“Beberapa projek naik taraf akan dilaksanakan di Seksyen 14 dan Seksyen 8 pada tahun hadapan.
“MBPJ menaik taraf kemudahan orang kurang upaya (OKU) di lapan lapan pusat bandar untuk tahun ini,” ujarnya.