BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Menapak ke air terjun, rehatkan minda, tenangkan jiwa

Tidak perlu menghabiskan ratusan ringgit ke lokasi percutian yang jauh. Air terjun dalam Selangor cukup untuk merehatkan minda dan menenangkan jiwa.

Bagi pecinta alam sekitar dan peminat sukan lasak khususnya, keindahan flora dan faunanya sepanjang perjalanan ke lokasi pastinya menggamit pandangan.

Sempena sambutan Hari Sungai Sedunia pada 26 September, wartawan NADIAH ZAMLUS menyenaraikan air terjun di Selangor yang menarik untuk diterokai.

Sungai Pisang

Terletak di Gombak, pendakian selama sejam ke air terjun ini melintas sungai kecil sebelum melalui terowong besar bawah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Di situ peserta boleh bergambar sebelum meneruskan perjalanan ke air terjun yang turut menjadi lokasi perkelahan.

Rasa penat pasti hilang setelah tiba di air terjun tersebut. Pengunjung diwajibkan memohon permit Jabatan Hutan negeri sebelum ke sana

Sungai Chiling

Lokasinya kira-kira 13 kilometer (km) dari Kuala Kubu Bharu. Pengunjung perlu menelusuri laluan hutan sejauh empat kilometer dan meranduk lima sungai penuh batu licin untuk ke Air Terjun Sungai Chiling.

Sebahagian tarikan di trek ialah santuari ikan kelah di sungai menuju ke air terjun. Diuruskan Jabatan Perikanan negeri, ikan berkenaan boleh dilihat serta mudah didekati pengunjung sepanjang laluan ke air terjun

Sungai Ampang

Terletak dalam Hutan Simpan Hulu Gombak berdekatan Zoo Negara, pengunjung perlu melalui Kampung Kemensah dan berhenti di pondok Institut Budaya Baru Melayu. Dari situ, mereka menempuh perjalanan selama 45 minit dan boleh menikmati keindahan enam air terjun antaranya Kubang Gajah dan Lata Sham.

Tarikan berkenaan turut dikenali Air Terjun Sofea Jane berikutan artis terkenal itu pernah menjalani penggambaran filem Cinta Kita sekitar
1990-an. Pengunjung perlu memohon permit
sebelum ke sana. Sekiranya tidak mahu mendaki, boleh menaiki kenderaan lasak pelbagai
bentuk muka bumi (ATV)

Batu Bertenggek

Air terjun setinggi 30 meter ini terletak di Kerling, Hulu Selangor. Ia mendapat nama itu kerana kedudukan batu di sekelilingnya seakan-akan duduk bertenggek di antara satu sama lain.

Treknya mudah, hanya laluan hutan biasa dan pengunjung akan sampai ke kawasan air terjun. Diingatkan kawasan berkenaan pernah berlaku kejadian kepala air, justeru perlu sentiasa pantau keadaan cuaca

Lata Medang

Dikatakan sebagai air terjun paling cantik di Hulu Selangor. Treknya mencabar dan perlu berjalan dua jam untuk ke air terjun.

Walaupun banyak laluan landai, tetapi ada juga laluan berbukit dan licin. Sebelum sampai ke lokasi sebenar, pendaki akan tiba di kawasan sungai dinamakan Lata Mecu. Jika ingin melihat air terjun lebih cantik, anda perlu mendaki lebih jauh

Sungai Lepoh

Juga dikenali sebagai Sungai Lopo ataupun Sungai Lepok, air terjun ini terletak di Hulu Langat. Air terjunnya ada gelongsor semula jadi lantaran batuannya besar, rata dan licin dan boleh digunakan meluncur.

Laluan ke air terjun bermula dari Kem Asli Adventure di Kampung Kuala Pangsun dan perlu merentasi kebun getah, jambatan kayu dan tanah licin selama satu jam 30 minit


Pengarang :