SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membuka permohonan lesen bazar Ramadan bermula 11 hingga 29 November ini.
Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata 884 petak disediakan tahun depan, permohonan boleh dibuat melalui Sistem e-Penjaja di laman sesawang MPAJ.
“Lesen Sementara Bazar Ramadan menawarkan 592 petak di 13 lokasi manakala Lesen Sementara Bazar Ramadan Elit pula sejumlah 292 petak membabitkan tiga lokasi.
“Sesi pemilihan petak, bayaran dan cetak lesen pula akan dibuka pada 2 Disember hingga 10 Disember 2024 serta pengambilan topi bersama apron pula pada 18 Disember hingga 31 Disember 2024,” katanya pada mesyuarat penuh, hari ini.
Pada masa sama, beliau memaklumkan setiap permohonan lesen yang dibuat perlu mengemukakan lampiran suntikan anti-tifoid yang masih aktif hingga tempoh bazar Ramadan 2025 dilaksanakan kelak.
“Jika pemohon masih belum membuat suntikan anti-tifoid, pemohon wajib mengambil suntikan ini yang disediakan di aras 4, Menara MPAJ,” jelasnya.