Foto Facebook MPHuluSelangor
PBTSELANGOR

MPHS terima kompleks pasar moden, lengkap pelbagai kemudahan

SHAH ALAM, 30 OKT: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerima kompleks pasar moden yang dibina MK Land Holdings Berhad (MK Land) bagi kegunaan penduduk Taman Bunga Raya, Rawang.

Timbalan Yang Dipertua MPHS Awaluddin Zakaria berkata bangunan berkeluasan 7,059 kaki persegi yang siap dibina awal bulan lalu dilengkapi 16 gerai, 20 petak pasar serta 130 petak peniaga.

Beliau menjelaskan kompleks tersebut turut dilengkapi laman tengah, bilik pengumpulan sampah, surau serta tandas untuk kemudahan pengunjung.

“Kemudahan awam ini memberi peluang kepada penduduk untuk berniaga dan meningkatkan ekonomi. Ia juga dapat membantu peniaga yang terkesan dengan operasi perobohan melibatkan 43 premis yang beroperasi tanpa kebenaran majlis pada 2020,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliuau bersama Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MK Land Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi menyempurnakan simbolik penyerahan bangunan berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Soalahuddin berkata sumbangan itu komitmen pihaknya membina komuniti lestari, selain tanggungjawab mewujudkan persekitaran menyokong keperluan masyarakat.

“Ini juga mencerminkan kepercayaan asas kami bahawa pembangunan hartanah bukan hanya membina rumah dan perbandaran tetapi mewujudkan persekitaran yang menyokong kegiatan ekonomi setempat, budaya dan ikatan kemasyarakatan,” katanya.

 


Pengarang :