Oleh DANIAL DZULKIFLY
KUALA LUMPUR, 4 OKT: Selangor sedia menyumbang sehingga 30 peratus dalam Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang menyasarkan RM100 bilion setahun dalam industri elektrik dan elektronik (E&E) termasuk eksport.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata Kerajaan Negeri sentiasa komited memperkukuh ekosistem semikonduktor dan E&E di Lembah Klang menerusi perkongsian strategik serta polisi sokongan selaras dengan pelan tersebut.
“Kerajaan Negeri bersama Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) sentiasa memainkan peranan dalam sektor semikonduktor di Malaysia.
“Selangor bersedia menyumbang kepada 30 peratus sasaran NSS sekali gus membantu menjana nilai tahunan RM100 bilion dalam semikonduktor dan eksport E&E,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Kerjaya Semikonduktor Malaysia di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini, hari ini.
Program berkenaan disertai lebih 2,000 pelajar daripada 20 universiti seluruh Malaysia yang menawarkan peluang pekerjaan menerusi 17 syarikat semikonduktor.
Program anjuran Sidec itu menawarkan peluang pekerjaan dengan kepakaran kejuruteraan dengan pendapatan bermula RM5,000 hingga RM6,000.
Dalam pada itu, Sze Han memaklumkan rancangan pertama pelaksanaan pelan itu dijangka mampu menarik pelaburan sebanyak RM500 bilion termasuk mambabitkan pelaburan asing.
“Pelan ini akan membentuk semula landskap semikonduktor di Malaysia termasuk penetapan reka bentuk 10 litar bersepadu dan pembungkusan yang mampu menjana pendapatan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion.
“Selain itu, Selangor kini menyaksikan kemasukan besar syarikat semikonduktor dari China, Jepun, Korea, India, Taiwan, dan Amerika Syarikat,” katanya.