SHAH ALAM, 30 OKT: Seramai 18 daripada 40 orang kurang upaya (OKU) mendapat kerja selepas lulus temu duga pada program Karnival Jobcare Istimewa 2024, Isnin lalu.
EXCO sumber manusia berkata mereka yang layak merupakan OKU pembelajaran seramai sembilan orang, kurang upaya fizikal (lima), pekak (tiga) dan seorang kurang upaya pelbagai.
“Seramai 40 OKU mencuba nasib semalam namun 18 sudah mendapat kerja dalam pelbagai sektor. Selain itu seorang penduduk Orang Asli dan bekas banduan juga diterima bekerja.
“Karnival ini memang mengutamakan golongan rentan untuk mendapat pekerjaan. Kita tidak mahu mereka kurang selesa ketika mencari kerja dan bersaing dengan individu sempurna tubuh badan,” kata V Papparaidu kepada Selangorkini.
Beliau berkata program julung kali itu turut melayakkan 167 individu lain mendapat kerja selain 253 bakal menjalani temu duga kali kedua.