Bangunan Parlimen. Foto laman web BERNAMA
AGENDANASIONAL

Parlimen Malaysia terawal di dunia guna tenaga solar

SHAH ALAM, 28 OKT: Parlimen Malaysia antara parlimen terawal di dunia menggunakan sistem tenaga solar dalam operasinya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata inisiatif itu dimulakan sejak 1 Oktober lalu.

“Sementara kita dalam tajuk itu, saya juga nak umumkan bahawa mulai 1 Oktober tahun ini parlimen ini sendiri (sumber) tenaga digunakan ialah tenaga solar.

“Jadi kita adalah parlimen terawal di dunia menggunakan sistem solar. Terima kasih kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi jawab lisan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Fadillah Yusof di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjawab soalan Ahli Parlimen Port Dickson Dato’ Seri Aminuddin Harun berhubung perancangan kementerian meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan peralihan tenaga dan kelestarian.

Menurut Fadillah program pendidikan dan kesedaran untuk meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan peralihan tenaga dilaksanakan melalui program literasi tenaga secara bersepadu di bawah Malaysia Energy Literacy Program (MELP).

“Program itu menyediakan akses kepada maklumat yang tepat dan dipercayai mengenai tenaga serta menjelaskan kepada masyarakat terutamanya generasi muda mengenai peranan dan kepentingan peralihan tenaga.

“Di bawah platform MELP, kesemua program literasi berkaitan tenaga diselaraskan dan melibatkan kerjasama daripada pelbagai jabatan kerajaan dan institusi seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan, Suruhanjaya Tenaga (ST), Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) dan syarikat utiliti,” katanya.

Sebelum ini Johari dilaporkan berkata inisiatif menggunakan tenaga solar di parlimen sebagai usaha ke arah masa depan yang lebih mampan selaras sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.


Pengarang :