Penyanyi Shantesh Kumar, 34, menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records apabila muzik video Tamil pertama mencapai sejuta tontonan dalam tempoh 72 jam pada 2018.
PERSONALITIRENCANA

Penyanyi lagu Amalina gerun mandi minyak pagi Deepavali

Oleh Intan Syuhada Akhir

Masa kecilnya, Santesh penyanyi India yang terkenal dengan lagu Amalina cukup takut dengan sambutan Deepavali.

Tiba saja perayaan itu, dia mula berdebar. Perkara paling digeruninya adalah mandi minyak. Tradisi wajib kaum itu ketika pesta cahaya bermula.

Shantesh Kumar, 34, berkata pengalaman mandi minyak bijan itu tidak pernah hilang dari ingatannya ketika masih bersekolah rendah.

“Waktu emak tuang minyak atas kepala, dia akan urut. Awalnya saya rasa seronok, kepala sejuk. Tapi selepas minyak itu mula turun ke bahagian telinga, saya rasa macam tersumbat dan tidak boleh dengar.

“Kemudian emak sapu minyak ke bahagian mata dan urut sekitar mata. Saya mula tidak selesa. Macam ada tanah dalam mata. Automatik saya rasa sangat takut bila tiba Deepavali kerana perlu mandi minyak,” katanya ketika dihubungi Selangorkini pada 21 Oktober lalu.

Namun bila mula menginjak dewasa, dia mula mengerti. Menjadi tradisi bagi masyarakat Hindu untuk mandi minyak di pagi hari Deepavali. Simbolik pembersihan diri daripada kejahatan.

“Tapi bila sudah besar, saya semakin faham apa kebaikan dan fungsinya mandi dari sudut saintifik. Bila kenang semula memori itu saya pun tergelak.”

Penyanyi Shantesh Kumar, 34, yang terkenal dengan lagu Amalina gerun ketika mandi minyak pada waktu kecil.

Masih ada memori Deepavali yang terpahat pada pemenang Anugerah Industri Muzik bagi kategori lagu rakyat terbaik bahasa Tamil pada 2013 itu.

Waktu kecilnya, dia cukup suka bermain mercun dan bunga api. Pernah mercun dibakarnya terkena rumah jiran.

“Ketika itu kami semua sedang bermain mercun roket. Saya ajar sepupu yang datang dari jauh cara main. Selepas sumbu dibakar, sepatutnya dia halakan mercun itu ke atas.

“Tapi sebaliknya dia halakan mercun roket ke pintu rumah jiran. Hendak jadi cerita, jiran itu pula memang baru nak keluar rumah. Kisah itu heboh satu taman,” ceritanya yang membesar di Klang.

Bercakap tentang makanan, sudah menjadi tradisi Santesh sekeluarga memasak hidangan turun-temurun keluarga iaitu Pongal. Manisan nasi yang dimasak dengan kacang dan kismis.

“Masakan Pongal ini istimewa kerana ia bukan hanya hidangan untuk manusia, tetapi juga untuk Tuhan.

“Pongal merupakan makanan yang sihat kerana ia dipenuhi dengan kacang, kismis, gula merah dan minyak sapi,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai persiapan Deepavali tahun ini, peserta rancangan realiti televisyen, Big Stage musim kedua itu memberitahu dia tidak menyambutnya kerana kehilangan tiga ahli keluarga.

“Tahun ini kami kehilangan tiga ahli keluarga iaitu nenek kepada isteri, pak cik dan juga abang saya yang meninggal dunia Januari lalu.

“Namun, kami tetap akan pergi menziarahi rumah saudara-mara terdekat,” tambahnya.

Bercerita tentang perkembangan kerjaya seninya, Santesh yang pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records apabila menjadi muzik video Tamil pertama mencapai sejuta tontonan dalam tempoh 72 jam kini hadir dengan buah tangan terbaharu iaitu lagu Manasilayo.

Lagu itu hasil terjemahan dari filem popular, Vettaiyan dibintangi Rajinikanth dan Amitabh Bachchan.

“Untuk Deepavali ini, saya ada buat lagu parodi sekadar hiburan untuk pendengar. Kalau tengok media sosial hari ini, semuanya bercakap tentang pertengkaran atau perselingkuhan.

“Jadi dengan hadirnya lagu parodi ini, saya harap pendengar boleh melupakan perkara pahit dalam kehidupan mereka,” katanya.


Pengarang :