AGENDANASIONAL

Penyertaan GM Klang dalam Big Sabah Sale 2024 tarik perhatian ramai

KLANG, 22 OKT: Popular sebagai destinasi borong terbesar di Malaysia, Pusat Borong GM Klang memperkukuh kehadirannya di Sabah melalui penyertaan yang signifikan dalam Big Sabah Sale 2024 edisi kedua yang akan berlangsung bermula 25 hingga 27 Oktober 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada jam 10 pagi sehingga 10 malam. Dalam usaha meneroka pasaran Sabah, lapan pemborong GM Klang telah terpilih untuk mempromosikan produk-produk mereka di bawah pavilion GM Klang.

Menurut Puan Norsuhaida binti Othman, Pengurus Kanan Komunikasi Jenama Pusat Borong GM Klang menyatakan, “Sebagai peneraju industri borong, kami komited menyokong para pemborong kami dalam meneroka peluang perniagaan baharu sambil memperluaskan pengaruh kami di Malaysia Timur, terutamanya di Sabah yang mempunyai potensi pasaran yang cukup baik dan semakin berkembang pesat. Ini juga merupakan sebahagian daripada visi kami untuk membawa GM Klang ke peringkat Asia dan meneguhkan hubungan perniagaan dengan komuniti peniaga bukan hanya di Sabah, malah dari negara-negara jiran seperti Brunei, Thailand, Indonesia, dan Filipina yang turut serta dalam acara sama.”

Ujarnya lagi, “Sinonim dengan ungkapan ‘beli lebih banyak, lebih jimat’, pemborong-pemborong kami sudah tentunya bakal menawarkan harga borong yang berbaloi kepada para pengunjung bahkan dengan harga yang lebih istimewa melalui slot promosi Happy Hour yang menjadi sebahagian aktiviti dalam acara ini. Secara tidak langsung, para pemborong kami juga berpeluang untuk mendapatkan pembeli-pembeli yang berpotensi menjadi rakan niaga mereka yang akan berpusat di Sabah seperti dropshipper, agen atau pemasaran afiliasi”.

Bagi mereka yang inginkan penjimatan lebih, anda semua dijemput untuk mengunjungi reruai pavilion GM Klang yang menampilkan pemborong-pemborong seperti Elena Fashion, iGOZO, PQ Bagss, Boston Concept Store, Ato Z Fashion Wholesale, Omiso Global, Kiriman Kampung dan Pusat Borong Terlajak Murah di mana para pengunjung acara ini boleh mendapatkan variasi kategori produk merangkumi gaya hidup, barangan dekorasi rumah, snek makanan tradisional/tempatan, aksesori, fesyen dan banyak lagi.


Pengarang :