EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Datuk Borhan Aman Shah bersama pemenang pertandingan nyanyian dan fesyen ketika Pesta Rentak Selangor 2024: Konsert Nostalgia Irama 80an Evolusi Musik di Wisma MBSA, Shah Alam pada 27 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Rentak Selangor kembalikan nostalgia kehidupan, muzik era 80-an

SHAH ALAM, 28 OKT: Lebih 2,000 orang memeriahkan program Rentak Selangor 2024: Konsert Nostalgia Irama 80-an dan Evolusi Muzik semalam.

Berlangsung dari 10 pagi hingga 12 tengah malam di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang hari.

Program dengan kerjasama Pertubuhan Media Negeri Selangor dan MBSA menyediakan Pasar Karat Era 80-an yang menjual peralatan muzik vintaj, kedai runcit dan warung kopi.

Kedai kopi Aku Suka Kopi ketika program Pesta Rentak Selangor 2024 : Evolusi Nostalgia Irama 80an Evolusi Muzik di Wisma MBSA, Shah Alam pada 27 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Pengunjung dihiburkan dengan persembahan muzik jalanan MBSA yang memainkan lagu era 80-an, persembahan keroncong Irama Damai serta tayangan filem Rock 00 – Rimba Bara Kembali.

Menariknya, pengunjung juga berpeluang menyertai pertandingan karaoke Mencari Bintang Lagu 80-an dan pertandingan Fesyen era 80-an bagi mengimbau kembali nostalgia zaman tersebut.

Pengunjung membuat saringan kesihatan percuma di reruai pameran klinik Selcare ketika program Pesta Rentak Selangor 2024: Evolusi Nostalgia Irama 80-an Evolusi Muzik di Wisma MBSA, Shah Alam pada 27 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Meski ia merupakan program hiburan, Kerajaan Negeri tidak ketinggalan membuka reruai pemeriksaan kesihatan percuma oleh Selcare untuk saringan kesihatan asas, fisioterapi, pemeriksaan gigi dan farmasi.

Pada sebelah malam, ribuan penonton hadir bagi menyaksikan Konsert Rentak Selangor Evolusi Muzik dan Irama 80-an dengan penampilan beberapa penyanyi yang popular pada era berkenaan.

Artis berkenaan ialah Datuk Jamal Abdillah yang mendendangkan beberapa lagu antaranya Azura, Aku Penghibur, Kehebatan Cinta dan Sandarkan Pada Kenangan.

Persembahan dari kumpulan Samudera ketika Pesta Rentak Selangor 2024: Konsert Nostalgia Irama 80-an Evolusi Musik di Wisma MBSA, Shah Alam pada 27 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Penonton juga dihiburkan dengan nyanyian Datuk Francissca Peter, Datuk Malik Ridzuan dan Zur Eda selain turut bergelak tawa dengan pengacara majlis Fauziah Ahmad Daud.

Tidak ketinggalan, persembahan muzik rock 80-an Samudera dan Slash serta penampilan khas artis muda berbakat yang baru sahaja memenangi Anugerah Penyanyi Bintang Popular Berita Harian ke-36, Khai Bahar.


Pengarang :