KUALA LUMPUR, 21 OKT: Pasukan Selangor FC sudah bersedia menghadapi dua perlawanan penting berturut-turut minggu ini, bertemu Jeonbuk Hyundai Motors FC 23 Oktober dan juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT), empat hari kemudian.
Pengendali skuad Gergasi Merah Nidzam Jamil berkata pemainnya juga teruja untuk melalui pengalaman menentang Jeonbuk, antara kelab handalan Korea Selatan dan berikutnya melawan pasukan terbaik negara dalam tempoh hanya selang beberapa hari.
“Kita di Selangor tiada kejohanan pun (ada) tekanan, jadi saya rasa pemain sedar perkara berkenaan. Saya rasa ini pentas yang semua pemain ternanti-nantikan dan kita kena lalui situasi ini dengan gembira kerana ia jarang dilalui pemain bola sepak di Malaysia,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Selangor memburu tiga mata kedua dalam saingan Kumpulan H Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2) apabila melayani kunjungan Jeonbuk di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Rabu ini.
Skuad Gergasi Merah itu kemudian akan membuat perhitungan dengan pendahulu Liga Super JDT pada aksi liga di venue sama pada Ahad.
Dalam saingan ACL2, Selangor di tempat kedua mengumpul empat mata manakala Jeonbuk menerajui kumpulan dengan enam mata. Wakil Thailand Muangthong United ketiga dengan satu mata dan Cebu FC dari Filipina tercorot tanpa sebarang mata.
Sementara itu dalam saingan Liga Super, anak buah Nidzam kini di kedudukan kedua dengan mengumpul 26 mata selepas 12 perlawanan dan ketinggalan lima mata di belakang JDT.
– BERNAMA