Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memotong riben sebagai simbolik majlis penyerahan tiga khemah pos kawalan tempat kejadian (PKTK) kepada ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor di SUK Shah Alam Selangor pada 24 Oktober 2024. FOTO HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor serah tiga khemah khas dilengkapi internet, berfungsi pusat koordinasi bencana

SHAH ALAM, 25 OKT: Kerajaan Negeri menyerahkan tiga khemah khas bernilai RM300,000 kepada ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor sebagai langkah siap siaga musim tengkujuh dan bencana lain.

Dato’ Menteri Besar berkata khemah pos kawalan tempat kejadian (PKTK) itu dilengkapi kemudahan internet selain memiliki ruang sesuai untuk berbincang, berehat dan rawatan sekali gus meningkatkan kecekapan operasi menyelamat.

“Khemah PKTK akan berfungsi sebagai pusat koordinasi yang efisien dalam operasi mencari dan menyelamat serta membantu menyelaras logistik dan komunikasi di kawasan bencana. Malah khemah ini juga mudah dipasang dalam tempoh 30 minit.

“Ia sesuai diguna dalam menghadapi bencana tahap satu, dua dan tiga selaras arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA). Langkah negeri ini dapat memastikan agensi keselamatan memiliki peralatan dan keperluan asas,” katanya pada sidang media.

Terdahulu beliau menyerahkan khemah PKTK kepada Ketua Polis Selangor Dato’ Hussein Omar Khan dalam majlis berlangsung di perkarangan bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau ruang dalam khemah selepas majlis penyerahan tiga khemah pos kawalan tempat kejadian (PKTK) kepada ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor di SUK Shah Alam Selangor pada 24 Oktober 2024. FOTO HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR

Amirudin berkata pengalaman menyelamat tanah runtuh di Batang Kali, Hulu Selangor pada Disember 2022 menyebabkan pihaknya berusaha menyediakan khemah terbabit demi memastikan operasi berjalan lancar.

“Ia membuatkan kita berikhtiar (sediakan khemah). Sepanjang dua minggu operasi menyelamat itu, kita akui keadaan agak huru hara. Jadi kita mahu operasi selepas ini lebih tersusun.

“Khemah ini diletakkan bawah tanggungjawab IPK namun ia untuk kegunaan semua agensi keselamatan termasuk Angkatan Pertanan Awam, bomba, tentera dan pihak lain,” katanya.

 

Kerajaan Negeri menyerahkan tiga khemah pos kawalan tempat kejadian (PKTK) bernilai RM300,000 kepada ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Selangor sebagai langkah bersiap siaga musim tengkujuh dan bencana lain di SUK Shah Alam Selangor pada 24 Oktober 2024. FOTO HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR

 


Pengarang :