Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Melaka melakukan operasi mencari dan menyelamat seorang buruh binaan warga asing yang tertimbus dalam runtuhan bangunan di Bukit Senjuang, Melaka pada 11 Oktober 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Seorang maut, dua cedera bangunan runtuh di Melaka

MELAKA, 12 OKT: Seorang pekerja warga asing maut manakala dua lagi selamat dalam insiden bangunan runtuh di Jalan Bukit Senjuang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata dalam insiden 6 petang itu, lelaki warga Bangladesh dikenali sebagai Jidan, 22, ditemukan maut dalam keadaan tersepit di celah runtuhan tiang konkrit.

“Mangsa ditemukan di celah runtuhan pada 9.55 malam namun hanya berjaya dikeluarkan dari runtuhan 12.16 tengah malam tadi.

“Mangsa yang selamat, Zubair Ahmed, 32, dan Abbas Ghulam, 49, kedua-duanya warga Pakistan, mengalami kecederaan di beberapa bahagian tubuh termasuk leher, bahu dan kepala. Mereka masing-masing dikeluarkan dari runtuhan pada 6.40 petang dan 8.45 malam.

“Kedua-dua mangsa kini menerima rawatan di Hospital Melaka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri R Saiful Iswandy R Hassan berkata pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu pada 6.18 petang dan 81 pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Padang Temu dan Melaka Tengah termasuk Pasukan Khas Taktikal Operasi Menyelamat (35 orang) tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari runtuhan yang melibatkan struktur bangunan satu tingkat berukuran 18.3 meter x 24.4 meter persegi yang masih dalam pembinaan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :