SHAH ALAM, 23 OKT: Sebuah stor penyimpanan aksesori kereta musnah 90 peratus dalam kebakaran di Lorong Kopi Kampung Baru Pendamaran, Klang, dekat sini tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kejadian yang dipercayai berlaku sekitar 12 tengah hari itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ahmad Mukhlis berkata pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.35 tengah hari sebelum menggerakkan 11 pegawai dan anggota bersama jentera dari dua balai bomba berdekatan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan kita bertindak melakukan pemadaman dan api berjaya dipadamkan sekitar 2 petang tadi. Ketika ini kerja-kerja pembersihan masih lagi dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
-BERNAMA