Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima menghadap Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail di Istan Selangor pada 1 Oktober 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDANASIONAL

Sultan Selangor seru kesatuan sembilan Raja Melayu, menaungi kesejahteraan rakyat

SHAH ALAM, 3 OKTOBER: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menegaskan semua sembilan Raja-Raja Melayu perlu ada kesatuan dan kesepaduan yang utuh termasuk saling membantu ketika berdepan permasalahan rakyat jelata.

Titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, peranan Raja-Raja Melayu dalam menaungi kesejahteraan hidup rakyat kini melangkaui isu agama, malah turut membabitkan isu semasa lain.

“Baginda turut mengingatkan kepada semua kerabat diraja supaya mempamerkan adab budaya yang baik ketika muncul di khalayak umum atau di media sosial dengan menonjolkan pekerti mulia agar dihormati dan disayangi rakyat.

“Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa isu yang sensitif membabitkan sesama Raja-Raja Melayu dielakkan daripada dibincangkan di media sosial,” menurut perkongsian di Facebook Selangor Royal Office.

Perkara itu ditegaskan Sultan Selangor ketika menerima menghadap Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada 1 Oktober di Istana Selangor, Kuala Lumpur.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, DYMM Tuanku Sultan dan DYAM Tunku Mahkota Ismail turut membincangkan pelbagai isu yang melibatkan Institusi Diraja dan arena bola sepak tanah air.

“DYMM Tuanku Sultan menzahirkan ucapan terima kasih di atas keberangkatan DYAM Tunku Mahkota Ismail untuk menghadap. Baginda berasa sukacita dengan hasil pertemuan ini serta menerima baik isi kandungan warkah permohonan menghadap oleh DYAM Tunku Mahkota Ismail bertarikh 6 September 2024,” katanya.

Mengenai bola sepak, Baginda bertitah kesefahaman telah dicapai bahawa tidak akan ada lagi perselisihan dan pertelagahan yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan.

Baginda menegaskan bola sepak adalah sukan rakyat yang sekian lama menyatupadukan masyarakat, justeru harus dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu wadah keharmonian negara..


Pengarang :