KUALA LUMPUR, 13 OKT: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan harapan untuk mempertingkatkan kerjasama antara Yayasan TZA dan Yayasan Raja Muda Selangor pada masa hadapan yang bukan sahaja tertumpu dalam bidang akademik.
Baginda bertitah kerjasama antara Yayasan TZA dan Yayasan Raja Muda Selangor bagi fasa kedua inisiatif ACE-SPM Yayasan TZA akan membantu usaha lebih baik dari segi bimbingan kepada belia, yang mewakili masa depan negara.
“Sesuatu yang menggembirakan apabila dapat menyaksikan dedikasi dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh semua yang hadir di sini melalui sokongan yang diberikan kepada yayasan ini.
“Tidak kira menerusi pendidikan, penjagaan kesihatan atau sokongan sosial, anda semua jelas menghayati prinsip Yayasan TZA bahawa setiap individu yang layak harus diberi peluang untuk berubah supaya mereka boleh diperkasakan untuk berkembang maju, tanpa mengira keadaan peribadi mereka,” titah baginda pada Majlis Makan Malam Penghargaan Yayasan TZA di sini malam tadi.
Turut berangkat Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Sharafuddin bertitah adalah penting untuk memastikan bahawa keprihatinan yang ditunjukkan ini mampu memberi manfaat kepada golongan sasar.
“Ini jugalah sebabnya beta sentiasa mengingatkan Paduka Anakanda Raja Muda Selangor agar setiap program di bawah Yayasan Raja Muda Selangor mahupun melalui Selangor Youth Community mesti jelas hasilnya.
“Beta yakin Yayasan TZA juga berpandukan prinsip yang sama,” titah Baginda.
– BERNAMA