SHAH ALAM, 9 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menitahkan pembentukan jawatankuasa bagi mengenal pasti kaedah terbaik memulihkan lebih 600 kanak-kanak GISB Holdings (GISBH).
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menitahkan jawatankuasa itu menghasilkan kertas kerja terperinci dan mengendalikan segera perkara tersebut demi masa depan kanak-kanak berkenaan.
“Baginda mahu perkara ini dikendalikan segera dan tidak dilengah-lengahkan kerana membabitkan masa depan kanak-kanak yang terlibat,” menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office.
“Jawatankuasa ini kelak akan melapor terus kepada Baginda dan bertanggungjawab memulihkan kanak-kanak ini, seterusnya diintegrasikan semula kepada masyarakat dalam tempoh ditetapkan.”
Terdahulu, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah dan Ahli Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Senator Dato’ Setia Salehuddin Saidin di Istana Bukit Kayangan di sini.
Sebelum ini, Dr Fahmi berkata penyimpangan ajaran GIBSH yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor akan dibawa ke Masjlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi pewartaan.
Bakal dibuat dalam masa terdekat, keputusan itu akan diteliti penasihat undang-undang negeri selain kemungkinan diusul dalam sidang Dewan Negeri akan datang.
Dalam kenyataan semalam, Kerajaan Selangor memaklumkan penubuhan pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak di rumah amal GISBH di negeri itu, baru-baru ini.
Ditubuhkan berdasarkan keputusan MMKN pada 2 Oktober, pasukan itu dipengerusikan Dr Fahmi Ngah dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari selain dianggotai polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Turut terlibat Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor Mais, Jabatan Agama Islam Selangor, pakar psikologi dan pendidikan kanak-kanak, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) dan Yayasan Selgate.