BUDAYARENCANA

Tarkovsky dan nihilis pergorbanan

Oleh Kubrivsky

Iliustrasi Fahmi Mustaffa

 

Apakah bernilai setiap pengorbanan yang kita lakukan? Apatah lagi di mata Tuhan yang memiliki dan mencipta segalanya? Jikalau esok hari dunia yang kita diami akan musnah, apa yang kita akan lakukan untuk menyelamat dunia ini? Mungkin itulah persoalan yang ditanya oleh Tarkovsky melalui filem terakhir beliau.

Andrei Tarkovsky merupakan seorang sutradara kelahiran Russia yang menghabiskan hayatnya dalam buangan. Dikenali sebagai pelopor gerakan Slow Cinema, Tarkovsky merupakan seorang sutradara yang sangat disegani para seniman dan seniwati seluruh dunia. Selepas meninggalkan Soviet Union, beliau membikin dua lagi filem di Itali dan juga di Sweden iaitu Nostalghia (1983) dan The Sacrifice (1986). Namun hayat beliau tidak panjang dan beliau meninggal dunia di Paris, hanya beberapa bulan selepas tamat penggambaran filem The Sacrifice.

Aku mula berjinak dengan karya-karya Tarkovsky ketika mempersoalkan tentang asbab kewujudan. Ketika itu aku baru sahaja selesai pengajian sarjana muda dan mula melangkah ke alam pekerjaan. Mungkin untuk mencari suatu ketenangan, aku tertarik dengan karya-karya Slow Cinema. Aku turut terbaca yang Tarkovsky berasa sangat terasing ketika dalam buangan dan sangat merindui anaknya serta tanah kelahirannya. Mungkin juga itu adalah satu pengorbanan yang beliau lakukan demi mengejar kebebasan berkarya.

Tarkovsky sangat mengkagumi Ingmar Bergman dan menganggapnya antara sutradara yang paling hebat. Namun begitu beliau enggan meniru atau menyamai karya-karya Bergman. Tetapi, filem terakhir beliau seolah-olah menyerupai sentuhan Ingmar Bergman. Tarkovski bekerjasama dengan beberapa orang yang pernah bekerja bersama Bergman seperti Sven Nykvist yang merupakan Pengarah Fotografi, yang sering bekerja dengan Bergman dalam hampir kesemua karya beliau; pereka produksi, Anna Aps; pelakon Erland Josephson dan Allan Edwall, serta salah satu anak Bergman, Daniel, sebagai pembantu jurukamera. Lokasi penggambaran dipilih berhampiran kediaman Bergman di Faro di Sweden. Selain daripada itu, filem The Sacrifice seolah-olah berkongsi pandangan nihilis yang sama dengan karya-karya Bergman.

Filem The Sacrifice memperihalkan tentang Alexander, seorang yang atheis yang kebimbangan akibat daripada pengumuman bakal berlakunya perang dunia ketiga dan dunia kini di dalam ancaman perang nuklear. Oleh kerana itu, Alexander merayu kepada tuhan untuk menyelamatkan dunia daripada kemusnahan dan bernazar untuk mengorbankan segala yang dia kasihi termasuk anak kecilnya yang digelar “The Little Man”. Alexander turut meniduri pembantu rumahnya, Maria selepas diberitahu Otto bahawa Maria merupakan seorang ahli sihir dan mampu menyelamatkan dunia ini. Keesokan harinya, dunia tidak musnah – namun begitu, Alexander membakar rumahnya berserta segala harta bendanya. Alexander seolah-olah menjadi tidak keruan dan berlari ke sana-sini sebelum dibawa menaiki ambulans. Filem ini tamat dengan Little Man yang sebelumnya bisu mula mendengungkan ayat daripada Gospel of John : ”In the beginning was word” berserta “mengapakah begitu ayah?”

Sia-sia

Di sini terdapat bait-bait nihilis daripada seorang sutradara yang kebiasaannya sangat spiritual dan beragama. Tarkovsky seolah-olah mempersoalkan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Alexander. Adakah Alexander betul-betul ikhlas mempercayai tuhan? Dan adakah dengan mengorbankan anak dan harta bendanya sudah cukup untuk meyakinkan tuhan yang agung itu untuk menyelamatkan dunia ini? Dan jika benar dunia selamat, adakah itu kerana kerja tuhan menjawab doa Alexander, dan bukan kerana dunia tidak langsung terancam? Malah, di dalam buku tulisan Andrei Tarkovsky sendiri yang bertajuk Sculpting in Time, beliau menerangkan bahawa dalam skrip asal, pengumuman yang didengari oleh Alexander dan ahli keluarganya yang lain itu bukanlah berita tetapi sebuah drama radio. Oleh itu, pengorbanan yang dilakukan oleh Alexander hanyalah sia-sia!

Kaedah persoalan tersebut sama seperti yang digunakan oleh ahli filsuf Denmark, Soren Kierkegaard dalam penulisannya yang berjudul Fear and Trembling. Kierkegaard meneliti tindakan Abraham mengorbankan anaknya Isaac, dengan berhujah bahawa niat Abraham itu adakah kerana dia takut akan kemurkaan tuhan, atau beliau betul-betul yakin tuhan akan menyelamatkan anaknya Isaac, namun natijahnya Abraham ingin membunuh Isaac. Tindakan Alexander menyamai tindakan Abraham, kerana kedua-dua mereka membuat korban atas nama ketakutan. Tapi menurut Kierkegaard juga, tindakan itu merupakan suatu “Loncatan Keimanan” (Leap of Faith) apabila seorang insan menyerahkan semuanya kepada takdir tuhan atas segala tindakan yang dilakukan sama ada menjadi atau tidak. Ini juga boleh diperkatakan terhadap tindakan Alexander yang berserah dengan takdir tuhan ketika beliau melakukan korban.

Perlu diambil tahu bahawa filem ini diterbitkan ketika era perang dingin masih rancak dan banyak karyawan mula memikirkan nasib manusia dan dunia ini dalam menghadapi suatu kemusnahan yang terjamin bersama. Mungkin ini juga suatu kebimbangan peribadi Tarkovsky terhadap masa hadapan dunia dan penghuninya, termasuklah dirinya sendiri yang meniti hari-hari terakhir di muka bumi. Namun begitu, pengakhiran filem ini menunjukkan bahawa beliau masih lagi mempunyai harapan terhadap kesejahteraan manusia sejagat.

Pada akhir filem The Sacrifice, seperti dinyatakan sebelum ini, anak Alexander berbaring di bawah pokok yang mati selepas menyiramnya. Pada awal cerita, Alexander menceritakan kisah seorang pendeta Jepun yang kerap menyiram air kepada pokok yang mati selama tiga tahun, lalu pokok tersebut hidup semula. Mungkin juga pokok yang mati itu adalah dunia dan kesejahteraan yang kian terhakis akibat peperangan namun jika disiram dengan kerap, semuanya akan kembali semula. Malah, ayat yang diungkapkan oleh Little Man itu memperihalkan permulaan penciptaan dunia menurut ajaran Kristian.

Sepanjang hayat beliau, Andrei Tarkovsky hanya menghasilkan tujuh filem sahaja dan kesemuanya dianggap mahakarya yang hebat. Pada hari pengebumian beliau, ratusan pengunjung hadir termasuklah pengarah yang beliau hormati, Robert Bresson dan ahli musik lagenda dari Russia, Mstislav Rostropovich yang mendendangkan gubahan Bach bertajuk Sarabande, mengiringi jenazah. Andrei Tarkovsky merupakan salah seorang karyawan ulung yang aku hormati dan banyak memberi inspirasi kepada aku dalam menghasilkan karya sendiri. Maka padanlah gelaran yang diberi kepada Tarkovsky itu, yakni “Penyair Sinema”.

 

 


Pengarang :