Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis perasmian Pemukiman Kesatuan Penghulu / Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Kali Ke4 di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 25 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Tiada kompromi kes pecah amanah, negeri sedia beri kerjasama siasatan

KLANG, 26 OKT: Kerajaan Negeri sedia memberi kerjasama kepada mana-mana pihak berhubung siasatan ke atas anak syarikatnya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Menegaskan tiada kompromi terhadap sebarang isu pecah amanah atau perlanggaran integriti, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan berhubung kes itu.

“Siasatan kepada institusi negeri ini memang kita sangat terbuka dan berikan ruang dan kerjasama yang sangat baik (dari Kerajaan Negeri dan agensi) kerana ia juga akan menjamin integriti dapat terus bertahan dalam institusi seperti MBI.

“Di mana-mana berlaku siasatan. Saya tak nak ‘jump to the conclusion’ (buat kesimpulan awal) sebab masih terlalu awal. Kenyataan pun masih lagi dikeluarkan, belum ada pendakwaan, sabitan dan sebagainya. Jadi beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menyemak dan menyiasat.

“Tidak terburu-buru buat kenyataan yang melabel atau menunding kepada pihak-pihak tertentu. Biarlah siasatan itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan kita akan beri kerjasama kerana kita tidak mahu berkompromi dengan sebarang kegiatan dan tindakan yang tidak amanah terhadap tanggungajawab yang telah diberikan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian Pemukiman Kesatuan Penghulu/Penggawa Semenanjung Malaysia Kali Ke-4 yang dihadiri kira-kira 500 hadirin di sini, semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cenderahati kepada wakil kontinjen ketika majlis perasmian Pemukiman Kesatuan Penghulu / Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Kali Ke4 di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 25 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Mengulas lanjut Amirudin berkata Kerajaan Negeri turut mengambil langkah memperketat beberapa tatacara operasi piawai (SOP) dalam anak syarikatnya bagi mengelakkkan sebarang isu perlanggaran integriti.

“Kita selama beberapa tahun yang lepas telah memperketatkan beberapa formula atau prosedur termasuk dalam beberapa piagam dan SOP yang kita telah tetapkan terutama selepas tahun 2019, 2020.

“Sebelum ini pun dah dipanggil (siasatan). Tiada masalah. Kita akan menyampaikan maklumat yang sebaik mungkin untuk membersihkan kalau ada sebarang keraguan dan untuk menjelaskan kalau ada sebarang pertanyaan.

“Tapi kalau ada yang tersilap dan tersalah mungkin ada masalah prosedur kita betulkan prosedur, tapi kalau ada melibatkan jenayah, itu untuk tindakan selanjutnya pihak terbabit. Itu diluar bidang kuasa negeri. Yang negeri akan laksanakan adalah penambahbaikan dan pemantauan supaya hal itu tidak berulang,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui petunjuk baharu membabitkan siasatan ke atas anak syarikat Kerajaan Negeri, MBI berhubung kes rasuah konsesi perlombongan pasir.

SPRM sebelum ini dilaporkan menggeledah sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safe house’ seorang ahli politik berpengaruh dan menemui sejumlah mata wang asing berjumlah kira-kira RM5 juta.


Pengarang :