Lebih 100 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di Little India, Brickfields pada 1 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Tujuh wanita warga asing diselamatkan Imigresen, ‘kapten’ ditahan

PUTRAJAYA, 23 OKT: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelamatkan tujuh wanita warga Vietnam yang menjadi mangsa eksploitasi seks dalam satu operasi di sebuah rumah kedai dua tingkat di Klang, Selangor Isnin lalu.

Menurut JIM kesemua wanita berumur antara 32 hingga 45 tahun itu masuk ke negara ini sebagai pelancong tetapi dipaksa dan dieksploitasi sebagai pekerja seks di premis berkenaan.

“Berdasarkan aduan, tujuh wanita warga Vietnam itu dilaporkan dikurung dan dipukul jika enggan melayani pelanggan.

“Premis itu dikawal ketat oleh kapten warga Bangladesh dengan dipantau sepanjang masa melalui kamera litar tertutup (CCTV),” menurut kenyataan JIM di sini hari ini.

Menurut JIM, ketika pemeriksaan anggota operasi terpaksa memecahkan pintu utama kerana penjaga premis atau ‘kapten’ enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua bangunan itu.

“Berdasarkan temu bual, kesemua pasport wanita itu dipegang oleh individu dipercayai ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka. Mereka hanya dibayar RM60 bagi setiap pelanggan dan pergerakan dikawal ketat termasuk dilarang keluar membeli makanan dan barang keperluan,” menurut kenyataan itu.

Operasi itu turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].

– BERNAMA


Pengarang :