SHAH ALAM, 10 OKT: Warga kerja badan berkanun atau anak syarikat Kerajaan Negeri yang mempunyai anak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) dipelawa memohon bantuan pendidikan sebelum 20 Oktober ini.
Dato Menteri Besar berkata Tabung Pendidikan Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun Negeri Selangor (TPASBB) layak dimohon untuk pengajian secara sepenuh masa peringkat diploma, ijazah sarjana muda atau kursus profesional yang disahkan Agensi Kelayakan Malaysia.
“Pembiayaan ini disediakan khas oleh Kerajaan Selangor sebagai usaha menyokong agenda pendidikan negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi hantaran Facebook.
Pinjaman berkenaan boleh dimohon menerusi pautan edanapendidikan.selangor.gov.my dan maklumat lanjut boleh didapati di portal PembiayaanPendidikan Negeri Selangor.
Sebelum ini, sejumlah RM12.893 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membiayai 561 kakitangan anak syarikat dan badan berkanun atau waris mereka menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Inisiatif TPASBB itu melibatkan tajaan yuran, elaun buku, perkakas, sara hidup serta kos kajian kepada pelajar yang mengikuti pengajian peringkat sijil hingga doktor falsafah (PhD) sepanjang 2013 hingga tahun lalu.
Secara purata setiap pelajar ditaja antara RM4,900 hingga RM13,550 satu semester. Kakitangan yang terima biasiswa ini terikat dengan Kerajaan Negeri manakala anak mereka bakal ditawarkan peluang kerja.