BUDAYARENCANA

Amputasi

Oleh Benedict Anak Samling

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

 

Ketika usiaku mencecah dua-puluh-dua tahun, Bayang-bayang melangkah keluar daripada tubuh seperti gerombolan ulat keluar daripada bangkai, berkeliaran di sekitar bilik untuk sekian waktunya lalu menarik kerusi kayu berkaki tiga dan diletakkan di sebelah katilku. Ini bukan kejadian luar biasa. Bayang-bayang membangunkan semua manusia, di ruang makan dan di ruang utama, manusia yang berubah mendadak ketika malam menjelma, waktu yang ditunggu-tunggu oleh manusia untuk membuka topeng yang memberatkan wajah mereka. Pada saat itu, melihat akan Bayang-bayang yang semakin mengurus duduk dengan tegak, adalah amat luar biasa. Manusia-manusia sapa-menyapa, bermaaf-maafan di atas kelewatan waktu, mencari para tetamu tanpa Bayang-bayang.

Bayang-bayang tidak pernah berubah – tinggi lampai serta sifat-sifat yang tidak pernah luntur dikikis waktu, yang berubah hanyalah kata-kata. Ada seorang kenalan, seorang wanita, mengatakan, Bayang-bayang duduk di atas bahu dan membisikkan sumpahan pada dadanya, bersenandung tanpa henti lalu bergayutan pada tumitnya. Kenalan lain yang baru sahaja membaham berpuluh-puluh ketul ayam goreng di kenduri seorang sahabat pula mendesah gelisah, Bayang-bayang merangkak keluar daripada kuku jari-jari tangannya dan merayap ke betis dan menuntut segelas darah disisip hirisan hati segar dan sekeping lidah bakar separuh masak. Sepasang kekasih yang menodai malam pula mengatakan Bayang-bayang seperti kebodohan apabila dikerumuni nombor-nombor yang tidak terhitung, nombor-nombor yang bertindih-tindih seperti sedang berdansa di lantai salsa. Di dalam sebuah rumah agam, suami dan isteri mengurung Bayang-bayang di dalam bingkai gambar bersalut emas. Kata mereka, andai tidak dikurung, Bayang-bayang akan mengganggu mimpi-mimpi yang mereka ciptakan ketika siang hari. Seorang sahabat yang baru dikenali sedang menunggu giliran untuk ditemuduga jawatan penghantar makanan, mengatakan Bayang-bayang dan jirannya bergaduh tanpa henti sehingga seekor anjing Labrador menghentak kepala pada dinding lalu bertemu dengan ajal.

Bayang-bayang yang kesunyian melayani dirinya: TV, telefon dan komputerku dicerai-beraikan dan segala komponen digabungkan menjadi satu bentuk menyerupai manusia lalu diletakkan di hujung katilku.

Pada awalnya, tiada siapa yang tahu Bayang-bayang. Manusia mengandaikan ia jelmaan roh atau hantu atau makhluk dari alam lain. Pada suatu malam, hari Khamis, pukul 1 pagi, di bangunan kediaman para perantau, seseorang menjerit dengan nyaring. Terhuyung-hayang para penghuni meninggalkan katil masing-masing menuju ke koridor mencari jeritan itu. Dari bilik ke bilik kami menjejaki suara itu. Di dalam sebuah bilik ditemui ratusan nota lekat pada dinding, semangkuk bijirin kering, segelas wine dan sebuah novel yang basah kuyup di atas tilam. Bayang-bayang begitu kurus dan terbongkok-bongkok di tepi tingkap. Mungkin pertama kali kami melihat Bayang-bayang sebegitu rupa – menggigil-gigil dan cengkung.

Seorang kanak-kanak perempuan menggenggam tanganku ketika menatap Bayang-bayang. Dia adalah kanak-kanak yang sering kutemui di taman permainan namun tidak pernah ingin mengenalinya. Kanak-kanak itu memandang wajahku dan mengukir senyuman menampakkan pendakap giginya. Aku menggenggam tangannya sebagai isyarat: aku nampak apa yang dia nampak. Bayang-bayang itu menatap ke arah kami. Segera ia melingkari genggaman tangan kami. Kejadian ini berlaku beberapa hari sebelum Bayang-bayang meninggalkan tubuhku.

Mengapa Bayang-bayang meninggalkan tubuhku? Bukankah Bayang-bayang perlukan manusia sebagai petanda kesatuan di antara jirim dan zarah? Apakah manusia telah melanggar hukum cahaya? Ah! Tidak mustahil hukum itu dilanggar. Manusia dan hukum seperti matahari di atas muka tasik. Riak-riak di atas tasik hanya mengaburkan matahari tanpa memadamkan bahangnya.

Di penghujung Disember, pada dada akhbar, terpampang tajuk berhuruf besar “BAYANG-BAYANG TELAH MATI”. Pada halaman yang sama foto seseorang memeluk Bayang-bayang. Kukira seseorang itu adalah manusia yang berkedudukan; pengawal-pengawal peribadi mengawal ketat Bayang-bayang, seketat wajah seorang lelaki pada halaman yang sama menggendong Bayang-bayang yang longlai. Spekulasi membengkak, media sosial, budaya baru, dipersalahkan. Hos radio menengking TV. Lidah TV mempersalahkan setiap manusia. Akhirnya, tiada bukti kukuh menyokong sebab dan akibat kejadian itu. Ia tidak seperti menjamu stik bersama kapucino. Ia bukan sindrom penyakit berjangkit, ia juga bukan virus. Ia tiada hubungkait dengan cuaca yang membakar dan air yang mengering. Ia berlaku di pusat bandar namun tidak jelas perilakunya. Ia seperti berlaku di mana-mana, jalan-jalan kota, lorong-lorong sempit atau rumah-rumah penginapan. Fenomena! Benar. Bukan malapetaka tetapi fenomena. Jika perubatan moden, ia adalah pembuangan anggota tubuh yang tidak berfungsi – amputasi!

 


Pengarang :