Beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika menentang Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Chinese Taipei dalam perlawanan akhir Masters Korea pada 9 November 2024. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Badminton: Aaron-Wooi Yik mara perlawanan akhir Masters Korea

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik hanya selangkah lagi untuk meraih gelaran pertama musim ini apabila mara ke final Masters Korea di Iksan City, Korea Selatan, hari ini.

Pada perlawanan di Gimnasium Iksan itu, beregu ranking enam dunia itu hanya memerlukan masa 36 minit untuk menewaskan pasangan ranking ke-76 dunia dari Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi-Lin 21-17, 21-16.

Tampil sebagai pilihan utama kejohanan berstatus Super 300 BWF itu, Aaron-Wooi Yik dijadual bertemu beregu bukan pilihan Jin Yong-Kim Won Ho di final esok.

Pasangan tuan rumah itu terpaksa bermandi peluh selama 79 minit untuk bangkit menewaskan rakan senegaranya Ki Dong Ju-Seo Seung Jae, 16-21, 21-19, 21-16 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Gelaran Jelajah Dunia pertama dan terakhir Aaron-Wooi Yik adalah pada Terbuka Denmark 2023 dan pencapaian terbaik tahun ini adalah mempertahankan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.

— BERNAMA


Pengarang :