kepala air menyondol-nyondol perut tanah
dari hujan yang pecah
ekor air melibas-libas perut bukit
keguguran tak cukup bulan
pokok-pokok merangkak dalam selut
anak-anak ikan tercekik lumpur
air dari puncak bersenggama dengan hujan
menyusur bagai LRT awal pagi
menanduk-nanduk gerai dan kedai
menyondol-nyondol dapur
menghantuk-hantuk hujan
fail-fail peribadi lemas sendiri
bersembunyi dalam almari
di lebuh raya kenderaan tanduk-menanduk
lampu-lampu kereta angguk-mengangguk
menyanyikan lagu raggae & blues
dalam perut banjir
sebelum banjir sampai di rumah
aku melarikan tangga.
Baharuddin Sairi