Ahli Majlis MBPJ Zon 4 Ikhsan Mohamad Din (tengah) bergambar bersama para peserta pada Majlis penutup program Youth4Change di PPR Lembah Subang 1 pada 09 November 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR
ADNSELANGOR

Belia PPR sertai kursus pertukangan kayu, manfaat barangan kitar semula

PETALING JAYA, 9 NOV: Seramai 20 belia dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, di sini menyertai kursus pertukangan kayu dan pembuatan perabot menerusi program Youth4Change.

Ketua projek Mohd Hasbullah Mohd Salleh berkata program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Think City itu berlangsung sejak 14 September hingga 3 November bertujuan mengasah kemahiran golongan belia.

“Inisiatif ini juga untuk mengubah persepsi segelintir masyarakat terhadap golongan belia yang tinggal di kawasan PPR yang mana kebiasaanya terlibat dengan pelbagai masalah sosial.

“Malah, melalui projek ini kita turut manfaatkan barangan kitar semula yang mana ia dapat memaksimumkan pembuatan perabot daripada sumber mesra alam sekali gus mengurangkan isu sampah pukal,” katanya.

Ditemui ketika Majlis Penutup Program Youth4Change @ PPR Lembah Subang di sini, Mohd Hasbullah berkata selepas tamat program, peserta yang berminat berpeluang mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang pembuatan perabot di institut kemahiran yang diiktiraf Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Sementara itu, Ahli Majlis MBPJ Zon 4 Ikhsan Mohamad Din memuji inisiatif dilaksanakan NGO dan minat yang ditonjolkan golongan belia PPR Lembah Subang 1 itu.

“Ia sedikit sebanyak dapat memupuk minat belia dalam bidang pertukangan kayu sekali gus menjauhi aktiviti tidak berfaedah dan dapat menepis stigma negatif masyarakat terhadap penduduk PPR,” katanya.

Salah seorang peserta Muhammad Faizul Shazreen Kamaruddin, 36, mengakui tiada asas dalam bidang pertukangan kayu namun minat mahu mencuba mendorongnya menyertai kursus tersebut.

“Sebelum ini belajar kejuruteraan mekanikal tetapi kali ini rasa mahu belajar benda baharu, rasa bangga apabila pandai buat kerusi meja buatan sendiri menggunakan bahan terbuang,” katanya.

Manakala, Siti Aishah Muhamad, 44, mahu mencabar dirinya bahawa bidang pertukangan kayu tidak hanya dipelopori golongan lelaki sahaja sebaliknya wanita juga mampu.

“Saya memang suka aktiviti lasak sebab itu mahu mencuba. Insya-Allah, selepas ini banyak barangan kitar semula boleh dimanfaatkan kepada barangan berfaedah,” kata ibu tunggal anak dua itu.

 


Pengarang :