KUALA LUMPUR, 7 NOV: Dua pengawal keselamatan ditahan bagi membantu siasatan kes beg berisi wang tunai RM1 juta yang dilaporkan hilang selepas proses kutipan dilakukan sebuah syarikat keselamatan dari sebuah bank di Ampang Point, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata lelaki dan wanita tempatan masing-masing berusia 52 dan 38 tahun itu ditahan di Ampang pada 10 malam hari sama.
Beliau berkata kedua-duanya dipercayai menaiki van keselamatan yang membawa beg berisi wang tunai berjumlah RM1,071,000 ketika hari kejadian.
“Ujian air kencing ke atas kedua-duanya negatif dan pengawal keselamatan terbabit tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mohd Azam berkata kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Beg berkenaan dilaporkan hilang pada 3.55 petang sebelum ditemukan di tengah laluan di Jalan Hulu Kelang menuju ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur oleh orang awam pada hari kejadian.
Beg itu dipercayai terjatuh ketika kenderaan terbabit melalui kawasan selekoh di laluan berkenaan.
– BERNAMA