SHAH ALAM, 10 NOV: Institusi sukan memerlukan tambahan peruntukan dalam Belanjawan Selangor 2025 sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 pada 2026.
EXCO sukan berkata dana berkenaan bagi melaksana persiapan awal kontijen, pembangunan atlet selain merancakkan lagi aktiviti persatuan sukan.
“Saya harapkan penambahan peruntukan untuk sukan khususnya dalam persediaan SUKMA. Dalam masa yang sama kita juga mahu sediakan persiapan pembangunan atlet kita.
“Kita harap peruntukan untuk persatuan sukan juga dapat ditambah untuk beri ruang mereka buat persiapan,” kata Najwan Halimi pada sidang media semalam.
Terdahulu, beliau merasmikan Jelajah Belia Madani Selangor peringkat daerah Petaling di Kompleks Generasi Muda dan Sukan Selangor di Seksyen 7, di sini.
Turut hadir Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku Lim Yi Wei, dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor Mohamad Nizam Marjugi.
Najwan menambah, Kerajaan Negeri juga komited membangunkan ekosistem e-sukan yang dilihat memiliki peluang cerah untuk lebih menyerlah di persada antarabnagsa.
Beliau menjelaskan, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan bagi mencari ruang mengembangkan sukan berkenaan selain memanfaatkan peluang sedia ada.
“Kerajaan Negeri tidak pernah mengenepikan e-sukan. Kita akan berbincang dengan Dato’ Menteri Besar untuk lihat keperluan untuk menampung pembangunan e-sukan,” katanya.
Sementara itu, Najwan yang juga EXCO Keusahawanan turut berharap tambahan geran dapat disediakan pada belanjawan negeri bagi membantu memajukan perniagaan usahawan tempatan.
“Untuk keusahawanan kita harap dapat tambahan geran supaya dapat diselaras dengan baik dan beri ruang kepada usahawan kembangkan perniagaan,” katanya.
Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual membentang Belanjawan Selangor 2025 pada 15 November ini, jam 3 petang di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor.
Laporan berita boleh diikuti melalui portal selangorkini.my, Selangor Journal, Selangorkini Mandarin dan Selangorkini Tamil.
Orang ramai boleh menonton siaran langsung menerusi selangortv.my dan Facebook MediaSelangor.
Pembentangan juga disiarkan melalui media sosial Media Selangor seperti Instagram, X, Telegram, TikTok selain di MYTV MANA-MANA.