SEPANG, 18 NOV: Kerajaan Negeri menyasarkan untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada 138,000 unit rumah strata yang berdepan isu pemilikan tahun depan.
EXCO perumahan isu tersebut akan diurus sebaik mungkin dengan bantuan dana awalan Tabung Penyelesaian Strata berjumlah RM10 juta yang diperuntuk dalam Belanjawan Selangor 2025.
“Ini memang jadi tumpuan kita tahun depan. Kita lihat ada 138,000 unit atau petak yang belum diselesaikan (pemilikan) dan ada yang telah menjangkau lebih 30 tahun. Kita sasar tahun depan sekurang-kurangnya 10 peratus dapat selesaikan.
“Ini memerlukan kerja yang agak teliti dan kerja awalan ini perlu kita uruskan sebaik mungkin kerana melibatkan banyak pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pejabat tanah dan galian, perumahan, badan pengurusan bersama (JMB) dan pelbagai lagi,” kata Datuk Borhan Aman Shah.
Ditemui selepas Festival Makanan Warisan Selangor 2024, Borhan berkata selain penubuhan jawatankuasa bagi meneliti isu itu, pihaknya turut meminta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengenalpasti kes yang sudah ada perkembangan penyelesaian.
“Ini bukan kerja mudah tetapi kita akan terus memastikan (penyelesaian dilaksana). Saya sudah minta LPHS supaya klusterkan kes yang mungkin telah menjangkau lebih 50 peratus (penyelesaian) sebab kita nampak ada yang sudah mula bergerak pada awal tahun atau dua tahun lepas,” katanya.
Jumaat lalu, ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejumlah RM10 juta diperuntuk tahun depan bagi dana awalan Tabung Penyelesaian Strata di Selangor.
Menurut Amirudin peruntukan khas itu dicadang untuk membantu meningkatkan peratusan penyelesaian pembangunan tanpa hak milik strata di Selangor khususnya skim yang tidak layak untuk memohon peruntukan daripada tabung khas hak milik strata.
Tambah Amirudin dianggarkan RM100 juta diperlukan dalam tempoh 10 tahun untuk penyelesaian keseluruhan skim strata yang telah dikenal pasti di seluruh Selangor.
Sebelum ini Amirudin berkata sebanyak 138,000 unit rumah strata di negeri ini mengalami masalah pemilikan sekali gus memberi kesan kepada nilai aset dan hartanah.